Program JIP berakhir

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Program Interaksi Pegawai Muda (JIP) ke-17 antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura (ABRS) yang berlangsung selama tiga hari telah berakhir hari ini.

Program tersebut telah diwakili 20 pegawai ABDB dengan diketuai oleh Leftenan Kolonel Haji Mushiri Zulkhibri bin Haji Awang dan 20 pegawai ABRS yang diketuai oleh LTC Ng Yen Meng.

Sejurus tiba, delegasi ABRS disambut oleh Kolonel Dr Jefri bin Haji Abdul Razak selaku pengerusi JIP 2020 semasa majlis resepsi di Mes Pegawai, Bolkiah Garison.

Kedua-dua delegasi ABDB dan ABRS juga melawat Muzium ABDB, diikuti oleh satu pertandingan boling pada malamnya.

Pada hari kedua, para peserta diberi peluang untuk melawat Taman Negara Ulu Temburong dan berpeluang untuk meneroka Sungai Temburong menggunakan perahu temuai.

Majlis makan malam rasmi pula diadakan di Mes Pegawai Berakas Garison.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Khairul Hamed bin Haji Lampoh.

Dalam ucapannya, Pemerintah TDDB menekankan betapa pentingnya memupuk persahabatan di peringkat pegawai muda antara kedua-dua angkatan tentera demi menjamin hubungan rapat yang berterusan ke masa depan.

Pada hari terakhir, hari ini, para peserta dibawa melawat Bandar Seri Begawan bermula dengan Taman Mahkota Jubli Emas dan diikuti dengan menaiki bot untuk menikmati keindahan Sungai Brunei kemudian berkunjung ke Galeri Kebudayaan Kampong Ayer dan sebuah rumah tempatan di mana mereka berpeluang mencuba makanan tradisi seperti ambuyat dan kuih-muih tempatan.

Antara peserta yang menyertai program tersebut.