Program keagamaan fokus bahaya dadah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dengan tema ‘Kesedaran Bahaya Dadah Haram’, Program Keagamaan Senegara bagi Sekolah-sekolah Arab dan Ugama telah diadakan secara serentak di seluruh negara secara bersemuka, kelmarin, mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Program dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi persekolahan sebelah pagi dan sesi petang dengan tumpuan di Sekolah Ugama Katok A, sesi petang.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis itu ialah Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei III, Awang Mohammad Fauzi bin Haji Zaini yang dialu-alukan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Katok A, Dayang Noorhasnah binti Haji Zainal.

Program berkenaan diisi dengan tazkirah bertajuk ‘Kesedaran Bahaya Dadah Haram’ yang disampaikan oleh guru agama terlatih dari sekolah berkenaan, Dayang Noraidah binti Sulong.

Tazkirah memfokuskan kepada memupuk kesedaran serta menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar-pelajar dan seluruh warga sekolah tentang bahayanya penyalahgunaan dadah yang boleh memberi kesan negatif kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Menurut Dayang Noriadah, dadah pada dasarnya memang diperlukan khususnya dalam perubatan, walau bagaimanapun dadah akan bertukar menjadi racun apabila disalahgunakan.

Selesai tazkirah, acara diikuti dengan bacaan doa memohon perlindungan daripada wabak COVID-19, dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Terdahulu, telah dimulakan dengan solat fardu Zohor dan sunat Hajat berjemaah sempena peperiksaan setengah tahun dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istigfar, Selawat Tafrijiyyah dan Surah Yasin.

Awang Mohammad Fauzi bersama pelajar semasa Program Keagamaan Senegara yang diadakan di Sekolah Ugama Katok A baru-baru ini.