Program keagamaan senegara diteruskan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Amalan kunjung-mengunjungi bagi menghubungkan silaturahim ketika menyambut Hari Raya dan memelihara etika semasa ziarah adalah antara perkara yang disentuh pada program tazkirah yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

Program keagamaan senegara bagi bulan ini dengan tema ‘ziarah-menziarahi dan berjimat cermat’ telah diadakan di beberapa buah sekolah agama dan Arab di seluruh negara, dengan hasrat untuk melahirkan Al-Insannussaleh di samping memberi penekanan yang seimbang dan sempurna terhadap kurikulum dan gerak kerja kokurikulum.

Turut disentuh mengenai mengutamakan solat fardu lima waktu, mengawal batas pergaulan antara bukan muhrim, penggunaan bahasa sapaan yang lebih lembut dan duduk di tempat yang dikhaskan ketika mengadakan kunjungan semasa sambutan Hari Raya ini.

Selain itu, program berkenaan turut diselitkan dengan amalan berjimat cermat dengan mengamalkan sifat bersederhana dan tidak bermegah-megah hingga boleh membawa kepada perasaan riak dan pembaziran.

Sementara itu, program keagamaan yang diadakan di Sekolah Ugama Madewa, Kampung Madewa telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh guru agama terlatih, Haji Mohd Nuruddin bin Haji Mohd Zaini, manakala hadir selaku tetamu kehormat ialah Awang Fauzi bin Haji Zaini.

Antara sekolah yang terlibat pada program berkenaan ialah Sekolah Persediaan Arab Temburong, Sekolah Ugama Madewa, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah Kampung Kupang, Sekolah Ugama Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin, Pandan dan Sekolah Ugama Sultan Hashim, Batu Apoi.