Program Keagamaan Senegara kembali lagi

Oleh Siti Nur Wasimah S. & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – ‘Cintakan Negara Manifestasikan Iman’ merupakan tema Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama dan Arab bagi bulan ini yang diadakan di keempat-empat daerah, hari ini.

Program keagamaan senegara itu bermula jam 8 pagi bagi semua sekolah Arab dan sekolah agama sesi pagi dan jam 2 petang bagi semua sekolah agama sesi petang seluruh negara.

Di Daerah Brunei dan Muara, program telah diadakan di Sekolah Ugama Lambak, Jalan Bedil di mana lebih 200 orang pelajar Pra sehingga Darjah 6 menghadiri program tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Guru Besar sekolah agama berkenaan, Dayangku Hajah Jurinah binti Pengiran Haji Sabtu.

Terdahulu, program dimulakan dengan sesi tazkirah ‘Cintakan Negara Manifestasikan Iman’ yang telah disampaikan oleh guru sekolah berkenaan, Awang Mohamad Hazrin bin Daud.

Dayangku Hajah Jurinah (tengah) semasa hadir di majlis itu.
Dayangku Hajah Jurinah (tengah) semasa hadir di majlis itu.
Antara yang hadir di Sekolah Ugama Lambak.
Antara yang hadir di Sekolah Ugama Lambak.

Menurutnya, di negara ini, peranan sultan dapat dilihat dari awal kemasukan Islam lagi. Perlembagaan Negeri Brunei 1959 telah mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan hak mengendalikan hal ehwal Islam dalam diberikan kepada sultan yang bertindak sebagai ketua agama.

Kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, jelasnya lagi, yang didukung dengan usaha-usaha yang dilaksanakan dengan penuh rapi, teliti, amanah dan rasa tanggungjawab telah membawa dan memandu masyarakat Brunei kepada penghayatan pengajaran Islam sepenuhnya.

Beliau turut menjelaskan, dalam Islam, konsep pembentukan negara yang stabil dan harmoni adalah berasaskan taat kepada Allah, Rasul dan Ulil Amri.

Ketaatan kepada agama dan kecintaan kepada raja dengan berpandukan ajaran Islam telah memberikan kesejahteraan hidup aman makmur dalam kalangan rakyat yang dapat dinikmati hingga ke hari ini, tambah beliau.

Program kemudian diteruskan lagi dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-71 serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, di Daerah Tutong, program seumpamanya telah diadakan di Sekolah Ugama Penanjong yang dihadiri oleh kira-kira 155 orang murid Darjah Pra hingga Darjah 6. Turut hadir ialah Guru Besar sekolah berkenaan, Hajah Rosni binti Haji Ahmad.

Tazkirah dalam program itu telah disampaikan oleh salah seorang guru sekolah berkenaan, Hajah Azalinah binti Haji Ali Ahmad yang kemudian juga dikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Tema program kali ini antara lain menekankan bahawa masyarakat Islam merupakan masyarakat yang beramal dengan hukum-hukum daripada sistem kehidupan yang diturunkan oleh Allah dari segi ekonomi, sosial, muamalah, kehakiman dan perundangan mahupun keperibadian.

Untuk mengembangkan semangat patriotisme memerlukan sikap sanggup berkorban, amanah, ikhlas dan mempunyai niat baik yang akan mewujudkan negara aman dan makmur serta rakyat yang mendokong kepimpinan raja yang adil lagi laila bijaksana.