Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Program Keagamaan Senegara bagi Sekolah-sekolah Arab dan Agama telah diadakan secara serentak di seluruh negara dan dijalankan secara dalam talian, kelmarin, yang dibahagi kepada dua sesi dengan tema bagi bulan ini ialah ‘Larangan Berkhalwat’.
Sesi persekolahan sebelah pagi bermula pada pukul 8 pagi, manakala persekolahan agama sesi petang bermula pukul 2 petang.
Tazkirah program pada bulan ini antara lain membahaskan mengenai pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang merupakan punca kepada perbuatan khalwat dan tidak berakhlak. Islam melarang keras perbuatan khalwat kerana sifatnya yang merapatkan hubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram boleh mendorong pasangan tersebut berkelakuan tidak berakhlak, dan kemungkinan besar akan menjerumus kepada perzinaan.
Statistik menunjukkan antara gejala sosial yang sering berlaku di negara ini ialah penyalahgunaan dadah, penipuan, mencuri, minum arak, khalwat dan zina (persetubuhan haram). Perkara yang menjadi perhatian utama negara ialah dalam mengatur interaksi antara laki-laki dan wanita, khususnya dalam menjaga kehormatan wanita serta melindungi masyarakat daripada akhlak tercela dan perilaku hina.
Aturan seperti ini hanya ada dalam masyarakat Islam yang menjunjung tinggi budi pekerti, akhlak dan perilaku mulia.
Perbuatan khalwat yang berleluasa akan menyebabkan gejala yang buruk kepada masyarakat sekiranya tidak diatasi dengan segera.
Acara program berkenaan dimulakan dengan membaca Selawat Tafrijiyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Kemudian diteruskan dengan tazkirah, membaca Surah Al-Waqiah, doa memohon perlindungan daripada wabak COVID-19, dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.