Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Program kebajikan raih keberkatan di bulan ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi, Daniel Lim & UNISSA

    Kehadiran bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini memberikan kita peluang untuk menyucikan diri daripada maksiat dan dosa serta meningkatkan lagi amalan.

    Di samping itu bulan Ramadan juga mendidik bagi menghayati kesengsaraan hidup golongan yang susah, bahkan menggalakkan kita untuk bersedekah. Sehubungan itu, kesejahteraan golongan yang memerlukan ini terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan, swasta, persatuan-persatuan, orang-orang persendirian dan juga orang ramai.

    Kelmarin, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Al-Syarif Brunei Darussalam telah mengadakan Program Khayrat Azhari sebagai aktiviti tahunan. Program itu menyasarkan golongan mualaf yang memerlukan bantuan serta golongan fakir dan miskin di keempat-empat daerah. Selain itu program Khayrat Azhari juga memberikan sumbangan kepada pelajar-pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Seramai 79 orang pelajar dari pelbagai negara berkumpul di Lobi Kolej Kediaman UNISSA dengan sumbangan diserahkan oleh Raes Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Al-Syarif Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

    Raes rabitah dalam ucapannya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada para penyumbang yang terdiri daripada alumni Al-Azhar di negara ini, sekali gus mendoakan amalan ini akan mendapat imbalan yang berlipat ganda.

    Hadir menyempurnakan penyerahan sumbangan semasa Projek Ramadan Food Drive ke-7 ialah Dr Haji Norarfan (tengah) kepada salah seorang penerima. – Gambar serahan UNISSA
    Haji Abdul Aziz menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima. – Gambar serahan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Al-Syarif Brunei Darussalam
    Rombongan PENJURU menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Daniel Lim
    Rombongan BP Guild ketika menyerahkan sumbangan yang diadakan baru-baru ini. – Gambar oleh Daniel Lim

    Penyerahan sumbangan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah yang disertai oleh jawatankuasa eksekutif rabitah dan para belia dari ahli Rabitah dengan kerjasama Unit Dakwah Pusat Dakwah Islamiah.

    Bagi Daerah Belait sumbangan kepada lima penerima yang telah disampaikan oleh, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz, manakala bagi Daerah Tutong sumbangan kepada lima penerima disampaikan oleh Naib Ra’es Rabitah, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Bagi Daerah Brunei dan Muara pula, sumbangan kepada 15 buah keluarga telah diketuai oleh Setiausaha Agung Rabitah, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman dan Bendahari Agung Rabitah, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.

    Sementara itu, bagi Daerah Temburong sumbangan kepada lima penerima telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Agung Rabitah, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Rabitah, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

    Program tersebut dihasratkan mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan agar dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh rasa syukur dan bertujuan bagi bersama-sama membantu pihak kerajaan menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan semasa fasa endemik wabak COVID dan membantu perbelanjaan bagi menyambut 1 Syawal nanti.

    Manakala itu, Persatuan Jururawat Brunei Darussalam (PENJURU) telah mengadakan Program Jejak Kasih Ramadan di seluruh negara. Mengetuai rombongan ke Daerah Belait semasa program itu ialah Ketua Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial PENJURU, Hajah Siti Halimah binti Mohd Tahir, yang menyerahkan sendiri sumbangan kepada empat orang bekas jururawat dan bidan yang menetap di daerah berkenaan dalam bentuk keperluan asas.

    Sementara itu, acara serupa turut diadakan di Daerah Brunei dan Muara, dan Daerah Tutong yang mana termasuk Daerah Belait seramai 13 orang penerima telah menerima sumbangan masing-masing dalam program berkenaan.

    Melalui program berkenaan, PENJURU berharap sumbangan itu bukan sahaja akan meringankan beban bekas jururawat dan bidan tetapi juga untuk menyampaikan penghargaan dan menyokong usaha yang telah mereka lakukan pada masa lalu ketika berkhidmat kepada Kementerian Kesihatan.

    Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu mereka yang memerlukan di seluruh Daerah Belait, Baden-Powell (BP) Persatuan Pengakap Daerah Belait (PPDB) telah menyerahkan sumbangan kepada 10 keluarga yang memerlukan kelmarin.

    Mengetuai rombongan dari BP Guild yang terdiri daripada 14 ahli pengakap bersama seorang pengakap kelana, adalah pengerusi persatuan di Daerah Belait Awang Beelie bin Tengah yang turut diiringi oleh timbalan pengerusi mereka Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghani.

    Menurut Awang Beelie mengenai inisiatif yang dijalankan oleh BP Guild itu, acara tersebut merupakan yang pertama daripada banyak inisiatif sumbangan utama yang dibuat oleh persatuan berkenaan tahun ini.

    “Sumbangan itu dilakukan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba, dan merupakan inisiatif strategik yang dijalankan untuk membantu mereka yang memerlukan di samping menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan masyarakat setempat di daerah ini,” tambahnya.

    Beliau berharap sumbangan yang diberikan akan membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan ketika mereka membuat persiapan untuk sambutan yang akan datang, terutama berkaitan impak pandemik global kepada keluarga yang memerlukan.

    Sementara itu, dalam sama-sama meningkatkan kepekaan dan kepedulian bersama, UNISSA melalui Unit Kebajikan dan Kemasyarakatan (UKBKM), Majlis Perwakilan Pelajar 2022 telah mengadakan projek amal tahunan yang lazimnya diadakan pada bulan Ramadan setiap tahun iaitu Ramadan Food Drive kali ke-7.

    Projek yang diadakan selama dua hari itu iaitu pada 15 dan 17 April itu, menumpukan kepada 11 buah keluarga di Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara yang terpilih menerima sumbangan berupa makanan asasi dan keperluan perbelanjaan hasil daripada sumbangan yang dihulurkan oleh warga UNISSA serta daripada pihak persendirian.

    Turut disumbangkan semasa projek itu ialah kit ujian pantas (ART) COVID-19 dan juga Mushaf Al-Quran UNISSA. Hadir menyempurnakan penyerahan sumbangan tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir dalam penyerahan sumbangan ini pemangku timbalan rektor, penolong-penolong rektor, dekan pelajar UNISSA, pegawai-pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar UNISSA serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

    Projek Ramadan Food Drive ke-7 ini juga turut mengagihkan sebanyak 600 bubur lambuk yang disediakan oleh pelajar UNISSA ke beberapa buah masjid dan balai ibadat serta rumah persendirian termasuk Kolej Kediaman UNISSA. Tujuan projek ini diadakan antara lain adalah memupuk nilai keperihatinan dan kepedulian sosial mahasiswa dan mahasiswi UNISSA terhadap masyarakat dan lingkungan selain memupuk sifat kesukarelawanan dan empati mahasiswa dan mahasiswi serta warga UNISSA dalam membantu meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...