Program kecergasan persiap atlet untuk bertanding

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Lebih 50 orang atlet kebangsaan dan pelapis di bawah Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengikuti Program Kecergasan yang berlangsung di kawasan lapang Pedestrian Mall, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Antara atlet yang terlibat termasuk atlet pencak silat, tekwando, olahraga, sukan kiu, wushu, lawan pedang, akuatik, golf dan karate.

Setiap sesi kecergasan dikendalikan oleh jurulatih kebangsaan secara bergilir-gilir selaku pengajar bagi program kecergasan tersebut yang mana sesi keempat kali ini dikendalikan oleh jurulatih kebangsaan sukan karate, Anggoro Bayu Pratama.

Program tersebut diadakan adalah bagi mempersiapkan atlet kebangsaan dan pelapis kebangsaan supaya sentiasa bersedia dari segi fizikal dalam mengikuti sebarang kejohanan yang akan datang.

Selain itu, program tersebut juga diadakan adalah untuk memantapkan lagi tahap kecergasan para atlet pada setiap masa dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti melakukan aktiviti kecergasan.

Program ini selaras dengan Dasar Sukan Negara iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang cergas, sihat dan kuat dari segi fizikal dan mental. Ia juga untuk melahirkan masyarakat bersemangat dan berpendirian positif dalam hidup, berdisiplin dan berdikari melalui penyertaan semua lapisan masyarakat secara aktif dan sukarela dalam semua aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan fizikal dengan berpegang kepada konsep Melayu Islam Beraja.

Dengan adanya program tersebut ia dapat menjadi platform dalam memberi pendidikan dan melatih para atlet untuk menitikberatkan kecergasan dalam kehidupan seharian.

Melalui penganjuran program tersebut juga turut menggalakkan penglibatan yang lebih aktif di kalangan atlet skim JBS dan semangat bekerjasama dan merapatkan hubungan silaturahim sesama atlet, jurulatih dan pihak pengurusan serta merangsang minda atlet supaya sentiasa aktif, produktif, inovatif dan bermotivasi dan membentuk generasi muda yang sihat, cergas dan berdisiplin melalui penglibatan diri dalam aktiviti sukan.

Antara aktiviti yang diadakan semasa program tersebut.