Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, pagi tadi, telah meneruskan lagi Taklimat Kenegaraan ‘Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’, kali ini bagi para pelajar Tahun 7 Sekolah Menengah Rimba (SMR) 1.
Majlis yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan itu telah dihadiri oleh Pengetua SMR 1, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof serta guru-guru dan 118 orang pelajar sekolah berkenaan.
Taklimat itu telah disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya yang antara lain menyentuh mengenai tatacara menaik kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Di samping itu, para pelajar juga berpeluang menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah dengan Megah Bendera Negara’, ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ dan video animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’ serta klip video aplikasi mudah alih InfoDept.BN.
Para pelajar juga berpeluang untuk menyertai kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya menjawab kuiz.
Program itu merupakan usaha berterusan Jabatan Penerangan, JPM dalam menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.