Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Seramai 23 orang ahli komiti pelajar dan 68 pengawas dari Tahun 7 hingga 11 Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Katok telah menyertai program kepimpinan, baru-baru ini.
Program yang dikendalikan oleh Kumpulan Belia Syababul Iman dari Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong dan Kumpulan Belia Masjid Ash-Shaliheen, itu dijalankan untuk meningkatkan potensi pelajar dan menggilap kemahiran pengurusan, kepimpinan dan kemahiran menyelesaikan masalah, selain meningkatkan pengetahuan dalam bidang masing-masing.
Pertama kali diadakan oleh SUAMPRIPAHS melalui Unit Ahli Jawatankuasa Penuntut dan Prefek, Badan Penasihat Hal Ehwal Pelajar, program diisikan dengan aktiviti-aktiviti menguji pemikiran, keupayaan untuk bekerja dalam kumpulan dan pada masa yang sama memasukkan elemen keagamaan untuk mempersiapkan para pelajar untuk menghadapi cabaran dunia sebenar.
Fasilitator program yang berlangsung di Auditorium 1 SUAMPRIPAHS itu terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa kumpulan pemuda Syababul Iman dan Masjid Ash-Shaliheen.
Kedua-dua kumpulan belia masjid berkenaan terkenal menjalankan program motivasi dan kepimpinan di sekolah sebelum ini. Program ini diadakan sebagai salah satu langkah pihak sekolah dalam mempersiapkan ahli-ahli jawatankuasa penuntut dan pengawas dalam menjalankan amanah sebagai kepimpinan murid sekolah.
Objektif program adalah untuk membina potensi dan meningkatkan kemahiran mengurus dan memimpin agar para murid dapat mengendalikan atau melaksanakan sesuatu aktiviti atau
majlis dengan berkualiti dan berkesan serta membantu para murid untuk mengetahui cara-cara mengurus ahli, membina pasukan, bertindak secara berpasukan dan mengetahui cara-cara menangani masalah.





























