Program Ketuk Ketuk Ramadan, Sentuhan Kasih RPN Kampung Panchor

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Seramai 48 orang anak-anak yatim dan lebih 20 keluarga yang kurang berkemampuan menerima bantuan yang disumbangkan oleh ahli-ahli Komuniti Sukarelawan Mengkubau, orang-orang kampung dan orang persendirian dari Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mengkubau, baru-baru ini.

Program Ketuk Ketuk Ramadan, Sentuhan Kasih yang dianjurkan oleh Komuniti Sukarelawan Mengkubau merupakan aktiviti kebajikan dengan menghantar makanan asasi kepada keluarga anak-anak yatim dan yang kurang berkemampuan di RPN Panchor, Mengkubau.

Sementara itu, pengerusi program, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat menjelaskan, “Penghantaran sumbangan dibahagi kepada enam kumpulan bagi lima kawasan di RPN Panchor Mengkubau.Kaedah penghantaran dari rumah ke rumah ini digunakan adalah bagi mendekatkan diri dengan masyarakat kampung dan berkongsi kasih bersama anak-anak yatim di RPN Panchor.

“Konsep penyerahan sumbangan ini mengambil kira saranan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dalam penjarakan fizikal dan sosial,” tambahnya.

Turut serta dalam penyerahan sumbangan itu, Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim selaku penasihat Program Ketuk Ketuk Ramadan, Sentuhan Kasih dan ahli-ahli Komuniti Sukarelawan dan Warga Serumpun Simpang 85, Jalan Bukit Bintagur.

Antara tujuan program ini adalah untuk memberikan peluang kepada ahli komuniti dan orang ramai khususnya kepada penduduk dari dalam dan luar kampung untuk melakukan amal kebajikan di 10 akhir hari Ramadan.

Selain memeduli anak-anak yatim yangg bermastautin di RPN Panchor, Mengkubau, dengan adanya sumbangan ini pastinya dapat menceriakan dan meringankan lagi beban mereka.

Ia juga dapat mengukuhkan lagi semangat kerjasama dikalangan ahli dan penduduk kampung dalam memeduli masyarakat yang memerlukan.

Ahli-ahli Komuniti Sukarelawan Mengkubau semasa menyerahkan sumbangan kepada penerima.