Program kongsi perkembangan isu semasa

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Dalam usahanya untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan, dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Program Sua Muka melalui cawangan-cawangannya di Daerah Belait dan Daerah Tutong.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, pada program tersebut, antara maklumat yang dikongsikan kepada penduduk kampung adalah penyebaran maklumat palsu di era digital yang tular dengan begitu cepat melalui pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, Facebook, Twitter dan Instagram yang menyebabkan orang ramai merasa takut dan cemas.

Selain itu, turut dikongsikan adalah tip membezakan berita palsu dan tindakan yang boleh diambil di bawah perundangan iaitu Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda $3,000.

Program yang berlangsung pada hari ini diteruskan dengan sesi dialog mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung berkaitan dengan prasarana awam.

Hadir bagi Program Sua Muka di Daerah Belait selaku ketua rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Pandan A, Haji Sulaiman bin Haji Udin. Manakala, hadir bagi Program Sua Muka di Daerah Tutong selaku ketua rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Rambai, Awang Muhammad Dahalan bin Kaslan; Pemangku Ketua Kampung Merimbun, Awang Sani bin Nangkat; dan Haji Muhammad Hairol Mazlan bin Haji Abdul Razak. Program Sua Muka juga dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan serta memberigakan perkembangan dan kemajuan mukim.

Antara yang hadir pada Program Sua Muka yang diadakan di Daerah Tutong, baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Penerangan