Program Korporat BMW dilancarkan semula

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – QAF Auto selaku pengimport dan pengedar tunggal kenderaan BMW di Brunei, hari ini, telah melancarkan semula Program Korporat BMW dengan mendatangkan beberapa penambahbaikan baharu, untuk memberi ganjaran kepada rakan-rakan setia.

Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo semasa majlis pelancaran program tersebut pagi tadi menjelaskan bahawa Program Korporat BMW baharu dan telah diperbaiki itu direka untuk memberi pengalaman BMW yang lancar dan holistik kepada rakan korporat mereka.

Alisa Khoo turut menyatakan keterujaannya untuk menyediakan rakan Korporat mereka dengan tawaran premium yang sudah semestinya memberikan kemudahan dan keselesaan termasuklah pakej lepas jualan dan pelan lainnya.

Ahli program korporat berkenaan akan menikmati pelbagai insentif yang eksklusif seperti jemputan ke pratonton tertutup BMW bagi pelancaran model dan acara korporat, kerjasama jerayawara korporat, uji pandu BMW yang dilanjutkan, serta potongan harga ke atas produk dan aksesori gaya hidup.

Ketersediaan penyelesaian mobiliti khusus untuk memenuhi keperluan perniagaan dan swasta telah menjadi ciri khas program berkenaan di mana eksekutif jualan korporat ditugaskan kepada setiap rakan korporat untuk memberikan sokongan dalam proses pengurusan permohonan, kontrak dan tempahan kenderaan.

QAF Auto turut memastikan bahawa setiap pemandu BMW menerima perkhidmatan premium yang selayaknya dengan menjaga hubungan luar biasa bersama pelanggan dan memberikan sokongan jaminan pakar, aksesori dan alat ganti.

Antara kelebihan bagi program korporat berkenaan termasuklah servis sehingga lima tahun atau 100,000km, BMW Extended Warranty Coverage sehingga lima tahun atau 200,000km, Qualified Roadside Assistance + Accident Hotline iaitu 24 jam bagi sebarang kerosakan atau kemalangan dan Insurans serta cukai jalan bagi tahun pertama.

Pengurus Besar QAF Auto (dua, kiri) semasa pelancaran Program Korporat BMW 2020.