Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Program lahir guru pelatih bertaraf antarabangsa

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Nisai Group of the United Kingdom (UK), sebuah organisasi pendidikan global inovatif yang terkenal, mengumumkan kejayaan kumpulan pertama guru-guru pelatih Brunei mendapatkan kelayakan guru antarabangsa menerusi sebuah program perantis yang dilaksanakan melalui Nisai Brunei.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Nisai Brunei, di sini, ia berikutan kemasukan Nisai ke dalam rantau Asia menawarkan program akademik, teknikal dan vokasional menerusi kaedah maya dan bercampur (blended).

    Kenyataan menerangkan bahawa penubuhan Nisai Brunei sebagai hab pengajaran bagi rantau Asia pada 2019 telah dibuat dengan mengambil kira lokasi strategik Brunei yang berada di tengah-tengah terutamanya bagi rantau Asia Tenggara dan potensi belia Brunei yang berpendidikan yang boleh dimajukan serta dilatih sebagai guru.

    Program perantis itu dibukakan kepada pemegang ijazah yang mempunyai minat untuk mengajar dan ingin mengejar peranan mengajar dalam kerjaya mereka.

    Guru pelatih Brunei akan diberikan latihan bekerja, latihan pembangunan profesional berterusan yang akan mengukuhkan lagi kelayakan pengajaran mereka.

    Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nisai Group, FDr Dhruv Patel dipetik menyatakan bahawa pemikiran positif dan sikap baik mereka adalah selaras dengan visi dan nilai-nilai Nisai dalam memberikan akses dan peluang yang saksama kepada semua, menyediakan pendidikan dan kemahiran untuk berjaya melalui pendidikan inovatif serta menanam perubahan institusi yang positif.

    Guru-guru Brunei, tambahnya telah menetapkan tanda aras baharu bagi pendidikan inovatif dan berkualiti di Asia dan permintaan untuk mempunyai lebih ramai guru Brunei bagi mengajar adalah penting untuk memenuhi permintaan rantau.

    Sementara itu, Pengarah Serantau Nisai Brunei, FDr Hajah Normawati binti DP Haji Othman dipetik berkata, dalam tempoh dua tahun sejak memulakan operasinya, guru-guru Brunei telah mampu untuk menukar persepsi ibu bapa dan pihak-pihak yang berkepentingan di Asia di mana guru-guru Brunei telah memperoleh reputasi yang baik bukan sahaja bagi penyampaian pelajaran, kualiti pengajaran dan prestasi kerja tetapi mereka juga dikagumi bagi menubuhkan hubungan yang baik dengan pelajar-pelajar mereka.

    Secara tidak langsung, tambahnya, mereka telah menerajui dan menjadi contoh yang baik sebagai duta baik kepada keupayaan belia Brunei untuk mentransformasikan Brunei Darussalam kepada sebuah negara dinamik selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Dayang Majidah Abdullah, guru Brunei yang menerima anugerah Teacher of Spring Term 2021 bergambar bersama kohort guru pelatih sebelumnya. – Gambar fail serahan Nisai Brunei
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...