Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Program lahir usahawan belia pertanian

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan minat orang ramai, khususnya daripada kalangan belia, dalam menceburkan diri dalam sektor pertanian, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan mengungkayahkan Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi ke-7.

    Program secara hibrid itu diadakan sepanjang bulan Ramadan ini bermula kelmarin dan dijalankan setiap Selasa dan Khamis sehingga 26 Mei depan.

    Ia merupakan salah satu inisiatif dalam mendukung Pelan Strategik Jabatan Pertanian dan Agrimakanan 2016-2022, yang berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan keluaran sektor pertanian.

    Objektif program berkenaan adalah untuk menarik minat belia berkecimpung dalam bidang pertanian dan mendedahkan perusahaan pertanian sebagai satu perniagaan menguntungkan khususnya dalam bidang industri tanaman menggunakan sistem teknologi tinggi bagi meningkatkan hasil keluaran pertanian.

    Program dibahagikan kepada sesi taklimat dan sesi lawatan ke ladang-ladang syarikat pengusaha tempatan dengan memberikan fokus kepada beberapa sistem dan teknologi pengeluaran yang bersesuaian dengan kemampuan para peladang belia.

    Antara belia yang menghadiri Program Pendedahan Belia-belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi ke-7 kelmarin.

    Antara tajuk taklimat yang akan disampaikan adalah latihan penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan tidak bermusim dengan menggunakan teknologi tinggi seperti teknik penanaman sistem fertigasi, latihan pengurusan kewangan dan juga peluang-peluang pelaburan di bidang industri tanaman.

    Melalui program itu, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan cuba untuk menarik minat belia-belia termasuk lepasan dari institusi pendidikan tinggi dengan melibatkan dukungan daripada keluarga masing-masing dari segi modal, untuk menggalakkan anak-anak mereka menceburkan diri dalam bidang pertanian.

    Bagi menjayakan program ini, ia turut melibatkan kolaborasi bersama agensi-agensi kerajaan lain dan institusi-institusi kewangan yang berkenaan.

    Dengan adanya program itu, diharap akan dapat meningkatkan pengetahuan yang menyeluruh dan akan dapat mencapai objektif bagi melahirkan para usahawan-usahawan belia pertanian yang komited, progresif dan produktif bagi sama-sama mendukung pembangunan sektor pertanian di negara ini dan seterusnya menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    Para belia yang berminat bolehlah menghubungi Bahagian Industri Tanaman dan Kemajuan Pertanian Daerah, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di talian 2470400, 2388095, atau 2382822.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...