Program latihan dalami tentang pembangunan kurikulum

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Seramai 20 orang peserta dari pelbagai jabatan di Kementerian Pendidikan mengikuti program latihan secara maya untuk Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) mengenai Pembangunan Kurikulum untuk Menyelaraskan Permintaan Industri dan Keperluan Tempat Kerja yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini.

Program anjuran Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH itu disertai oleh peserta dari L3C, Jabatan Pengajian Tinggi (HED), Sekretariat Majlis Akreditasi Negara Brunei Darussalam (BDNAC), Jabatan Pembangunan Kurikulum (CDD) dan Akademi Kepimpinan dan Guru Negara Brunei Darussalam (BDLTA) di Kementerian Pendidikan.

Menurut kenyataan SEAMEO VOCTECH, program latihan bertujuan untuk melengkapkan peserta dengan pemahaman lebih luas tentang pembangunan kurikulum berasaskan kompetensi dalam merancang, mereka dan mengkaji semula, untuk jabatan masing-masing dengan program kurikulum yang terkini dan sejajar dengan permintaan industri dan keperluan tempat kerja dan banyak lagi bagi melaksanakan peranan di tempat kerja mereka dengan berkesan dan cekap dengan cara yang mampan dan bertanggungjawab.

Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dalam ucapannya pada majlis perasmian program mengucapkan terima kasih kepada L3C, Kementerian Pendidikan kerana memberi kepercayaan kepada pusat tersebut untuk menjalankan program latihan mengenai pemba-ngunan kapasiti dan pembangunan profesional.

Beliau menekankan bahawa pusat berkenaan amat bangga dan berbesar hati kerana dapat membantu meningkatkan pemahaman tentang pembangunan kurikulum, proses dan selok-belok yang terlibat, serta bagaimana ia boleh didekati oleh peserta.

Antara yang menghadiri majlis perasmian program latihan secara maya itu. – Gambar serahan Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH