Program lawatan perjelas kefahaman mengenai masjid

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Belia Mualaf As-Syahadah di bawah naungan Pusat Dakwah Islamiah dengan kerjasama Program Keagamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan sokongan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Jabatan Hal Ehwal Masjid telah mengadakan Program Lawatan Masjid sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Program yang bertemakan ‘Sejarah dan Kebudayaan Brunei Darussalam menerusi Jelajah Masjid’ bertujuan untuk menyuntik semangat para belia supaya berani tampil bagi menyampaikan maklumat-maklumat tentang masjid dan apa-apa jua yang berkaitan mengenainya dengan cara yang menarik dan maklumat yang tepat.

Sementara itu, ia juga memberi peluang kepada pelancong untuk bertanya soalan berkenaan masjid dan apa-apa yang berkaitan serta membetulkan kesalahfahaman yang mungkin ada.

Program yang diadakan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari merupakan kesinambungan dari Bengkel Kesedaran melalui Lawatan Masjid 2020 pada 15 Februari lalu.

Kira-kira 50 belia mengikuti program tersebut yang terdiri daripada Belia Mualaf As-Syahadah, sukarelawan, Urus Setia Program Keagamaan Belia dan peserta bengkel kesedaran melalui lawatan masjid yang lalu.

Para pengunjung yang terdiri daripada pelancong semasa diperjelaskan serba sedikit sejarah masjid berkenaan oleh belia-belia yang terlibat.