Program Masjidku Makmur, Negara Berkat diteruskan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Program Masjidku Makmur, Negara Berkat diteruskan lagi hari ini yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Hadir bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Program berkenaan yang juga dihadiri oleh para jemaah masjid, dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan disokong oleh JPM, merupakan program mingguan yang diadakan bagi menambahkan jumlah kehadiran jemaah ke masjid dan seterusnya mendirikan sembahyang fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

Sementara itu, tazkirah Subuh telah disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara, KHEDN, Awang Fariszal bin Ali selaku daie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei dengan membawakan tajuk ‘Harga Diri.’

Awang Fariszal berkata hanya orang yang memiliki harga diri sahaja mampu mencapai kejayaan dan kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat ia-itu penilaian seseorang mengenai keupayaan dan kemampuan dirinya untuk berjaya di dunia dan di akhirat.

Tambahnya, tanda-tanda orang yang memiliki harga diri yang tinggi ialah mudah menghargai orang lain, berfikiran positif dan menyayangi orang lain.

Program Masjidku Makmur, Negara Berkat turut memberi peluang kepada para pengunjung melakukan aktiviti-aktiviti yang diadakan bersempena Program Bandarku Ceria selain meraih keberkatan dan merebut ganjaran pahala dengan melaksanakan ibadah-ibadah yang dianjurkan oleh agama Islam.

Makmurnya masjid-masjid di negara ini, adalah antara landasan kepada kita untuk menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan daripada Allah SWT buat diri sendiri, keluarga dan juga Negara.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri Program Masjidku Makmur, Negara Berkat yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.