Program Masyarakat Bermaklumat diteruskan

TUTONG, 15 April – Jabatan Penerangan melalui cawangan Penerangan Tutong dengan kerjasama Jawatankuasa Program Masyarakat Bermaklumat bagi Kampung Ukong, Kampung Bukit dan Kampung Long Mayan meneruskan lagi Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi ketiga-tiga kampung tersebut baru-baru ini.

Program dihadiri seramai 62 orang penduduk Kampung Ukong, Kampung Bukit dan Kampung Long Mayan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Penyelidikan Pertanian, Kampung Sinaut, Tutong.

Program tersebut diisikan dengan beberapa taklimat dan lawatan ke beberapa buah kawasan pertanian dan syarikat pertanian.

Antara taklimat yang disampaikan adalah dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bertajuk Industri Tanaman serta Keusahawanan di Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Pegawai Pertanian, Awang Mat Rusli bin Haji Abu Bakar. Beliau sedikit sebanyak menyentuh mengenai matlamat strategik jabatan bagi meningkatkan pertumbuhan keluaran sektor pertanian, penternakan dan agrimakanan yang dihasratkan dapat meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, eksport dan mempelbagaikan ekonomi.

Manakala Pemeriksa Ternakan, Awang Mohd Abdul Aziz bin Adun dalam taklimat yang menyentuh mengenai industri ternakan, menjelaskan industri tersebut menyumbang sebanyak 244.63 juta pada tahun 2018, berbanding hanya 229.44 juta pada 2019.

Peserta kemudiannya mengadakan lawatan ke RZ Prisma Enterprise di kawasan Kemajuan Pertanian (KPP) Kilanas, Pusat Penyelidikan Pertanian Brunei, dan disambut kedatangan mereka oleh Pengurus Besar RZ Prisma Enterprise, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

Dalam taklimat ringkasnya, beliau mengongsikan mengenai sistem hidroponik NFT tanpa mekanisasi dan automasi yang dipasang di ladang tersebut bagi penanaman daun selada serta manfaat sistem tersebut.

Program tersebut diteruskan lagi pada sebelah petangnya dengan lawatan ke Rimba Garden Central (RGC) di Jalan Kampung Rimba.

Di sana, peserta dialu-alukan oleh Eksekutif Komunikasi Pemasaran RGC, Awang Mohd Fairuz bin Aminuddin yang turut menyampaikan taklimat mengenai latar belakang RGC, peluang yang disediakan dan seterusnya membawa para peserta melawat sekitar premis tersebut.

Para peserta program bergambar ramai di Rimba Garden Central.