BANDAR SERI BEGAWAN, 9 April – Bagi menyemarakkan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi tahun 1439H/2018M, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) akan menganjurkan Program Mudahnya Sembahyang bagi menarik orang ramai dalam sama-sama meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melaksanakan sembahyang dengan betul dan sempurna.
Program berkenaan akan diadakan pada 15 April ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, sejurus selesai Program Masjidku Makmur Negara Berkat, menurut KHEU dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan menjelaskan, berbagai-bagai aktiviti yang boleh disertai orang ramai akan diadakan pada hari itu nanti antaranya Klinik Taharah, Klinik Al-Fatihah, Klinik Sembahyang, Kaedah Sembahyang Berjemaah, Fiqah Wanita mengenai sembahyang dan Tabung Dana Masjid; sembahyang bagi orang sakit dan orang kelainan upaya, sembahyang bagi orang musafir, makanan halal dan kaunseling keluarga, pemberigaan Kanun Hukuman Jenayah Syariah, zakat, wakaf dan Fidyah serta kuiz.
Selain itu, orang ramai juga dapat menyaksikan pameran, jualan bazar dan aktiviti sukan seperti eksplorasi solat.
Oleh itu, orang ramai akan dialu-alukan hadir pada program itu nanti.