Program mobiliti dedahkan pelajar UNISSA

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Rombongan seramai 21 orang terdiri daripada lapan orang pensyarah serta 13 orang pelajar program sarjana muda, sarjana dan PhD mengikuti Program Mobiliti Akademik & Khidmat Masyarakat, Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke-2 di Malaysia, hari ini.

Program bermatlamat untuk melakukan jaringan akademik dengan institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara serta untuk memberikan pendedahan kepada pelajar program sarjana muda dan lepasan ijazah.

Rombongan yang diketuai oleh Dekan Fakulti Bahasa Arab UNISSA, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad itu akan berada di Malaysia sehingga 19 September yang mana program diselajurkan dengan Seminar Antarabangsa Bahasa Arab di Asia Tenggara.

Menurut Profesor Madya Dr Siti Sara, program itu merupakan kali kedua diadakan dengan kali pertama diadakan di Indonesia dan ia bermatlamat bukan sahaja untuk mengeratkan lagi hubungan jaringan akademik dengan institusi-institusi pengajian tinggi tetapi juga untuk melakukan kerjasama dalam bidang penyelidikan serta memanfaatkan memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian yang telah dimeterai bersama.

Semasa program itu, para peserta akan menyertai pelbagai aktiviti termasuk menyertai seminar, lawatan ilmiah kepada enam buah universiti Malaysia iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Antarabangsa Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putera Malaysia dan Universiti Malaya.

Rombongan turut mengambil bahagian dalam kerja-kerja khidmat masyarakat dan eksplorasi Bahasa Arab semasa program selama 10 hari berkenaan.

Profesor Madya Dr Siti Sara (enam dari kiri) bergambar ramai dengan rombongan sebelum berlepas menyertai Program Mobiliti Akademik & Khidmat Masyarakat, Fakulti Bahasa Arab, UNISSA ke-2 di Malaysia.