Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kerjasama Temasek Foundation (TF) dan Civil Service College (CSC), Singapura telah mengadakan Majlis Penutup Program Eksekutif Kepimpinan MOFE (MOFE-LEP) yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei pada 23 Mei lalu.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka
Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; setiausaha tetap, pemangku setiausaha tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), timbalan setiausaha tetap, timbalan pesuruhjaya tinggi
Singapura, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan MOFE berserta pihak berkepentingan utama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah berserta Doa Selamat dan diikuti dengan penyampaian lima kertas projek daripada peserta-peserta program yang mengetengahkan topik pembentangan meliputi sektor kesihatan, pengangkutan awam, pelancongan, transformasi digital dan peralihan ekonomi hijau yang mampan.
MOFE-LEP telah dilancarkan pada Ogos 2022, di mana antara perisian sepanjang program berkenaan termasuk sesi lawatan sambil belajar ke Singapura dan sesi bengkel mengenai perancangan strategik berkaitan dengan Sektor Awam yang disampaikan oleh tenaga pengajar atau fasilitator daripada pihak CSC dan TF.
