Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Mudahnya Sembahyang 15 April

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Orang ramai berpeluang mendapatkan ilmu berguna mengenai sembahyang dalam Program Mudahnya Sembahyang yang akan di adakan di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien di ibu negara pada 15 April ini.

    Program tersebut merupakan acara iringan bagi Sambutan Israk dan Mikraj peringkat kebangsaan dan akan dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama jabatan-jabatan di bawahnya.

    Perkara ini dijelaskan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Dayang Hajijah binti Haji Moktal semasa ditemui pada acara raptai bagi Majlis Sambutan Israk dan Mikraj yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.

    Beliau menjelaskan, antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai di negara ini yang mana sembahyang itu adalah mudah, ia boleh dilaksanakan di mana-mana.

    Selain untuk memberikan maklumat, pengetahuan dan bimbingan perkhidmatan keagamaan kepada orang ramai khususnya berkaitan dengan solat.

    Dayang Hajijah semasa menjelaskan mengenai program mudahnya sembahyang.

    Beliau seterusnya menjelaskan mengenai format program berkenaan iaitu untuk menyampaikan dakwah dalam suasana yang berbeza dan mengikut pendekatan yang terbuka bersama orang ramai.

    Antara pengisi program adalah klinik Al-Fatihah yang akan dikendalikan oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Selain itu, beberapa klinik lain yang berkaitan dengan sembahyang antaranya klinik Toharah, klinik Sembahyang.

    Di samping itu, maklumat mengenai sembahyang berjemaah dan perkhidmatan tabung dana masjid, sembahyang untuk orang musafir, sembahyang untuk orang kelainan upaya dan banyak lagi.

    Dengan adanya klinik berkenaan, orang ramai bukan saja berpeluang menghalusi bacaan malah mereka juga berpeluang berkomunikasi dengan pegawai-pegawai yang terlibat dalam program mudahnya sembahyang dengan lebih jelas.

    Selain menyediakan perkhidmatan klinik yang berkaitan dengan sembahyang, beberapa aktiviti sampingan turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana pada hari tersebut seperti bazar, kuiz dan permainan.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang ke taman berkenaan untuk sama-sama menjayakan program tersebut seterusnya mengambil kesempatan dengan perkhidmatan yang terdapat dalam program itu.

    Program berkenaan akan didahului dengan sembahyang subuh berjemaah dan diteruskan dengan tazkirah di Masjid Omar Ali Saifuddien kemudian riadah sekitar Taman Mahkota Jubli Emas seterusnya pelepasan eksplorasi solat yang akan disertai para pelajar sekolah agama, sekolah Arab dan sekolah menengah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda