Program naturalisasi masih releven

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Tatkala segelintir pihak tampak tidak bersetuju program naturalisasi kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diteruskan, beberapa individu terlibat secara langsung dalam ekosistem bola sepak negara menganggap program itu masih releven.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Dollah Salleh berpendapat khidmat pemain naturalisasi yang berkualiti masih diperlukan sebagai usaha memperkuat skuad Harimau Malaya untuk bersaing di pentas antarabangsa. Menurut pengendali Sri Pahang FC itu, pasukan negara bukan sahaja memerlukan pemain naturalisasi yang memiliki kemahiran baik di atas padang, malah pemain yang mempunyai kelebihan dari aspek fizikal.

Katanya, beliau sendiri juga pernah mencadangkan supaya skuad kebangsaan diperkuat de-ngan kehadiran pemain natura-lisasi ketika masih membimbing pasukan negara sebelum ini.

“Ini hakikat yang kita semua perlu terima bahawa Malaysia memang perlukan pemain naturalisasi dan satu daripada sebabnya faktor fizikal kerana apabila beraksi di peringkat Asia, belum cerita di pentas Eropah lagi, pemain-pemain tempatan kita sahaja belum cukup untuk bersaing,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama