Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Program orientasi prasekolah dilaksana

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dalam mempersiapkan dan membiasakan murid-murid yang akan memulakan alam persekolahan tahun depan, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Program Orientasi bagi Kanak-kanak Prasekolah sesi persekolahan 2023 di beberapa buah sekolah kerajaan di keempat-empat daerah hari ini.

    Program telah bermula pada 5 November lalu itu diadakan setiap tahun sekitar November di sekolah masing-masing dengan melibatkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kelas mengikut yang telah diaturkan oleh pihak sekolah.

    Sementara itu, dalam tinjauan pihak media ke Sekolah Rendah Mentiri pada hari kedua orientasi telah berpeluang menemu bual Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Sarimah binti Haji Lusin yang antara lain mengongsikan mengenai program yang dilaksanakan di sekolah tersebut.

    “Pada hari pertama adalah sesi taklimat bersama ibu bapa dan penjaga murid yang mana pada sesi taklimat itu menerangkan apa yang akan dilaksanakan pada hari kedua dan ketiga orientasi selain menjelaskan mengenai peraturan sekolah dan sebagainya,” jelasnya.

    Dengan adanya orientasi ini, tambah beliau, murid-murid akan terbiasa dan dapat berdikari apabila menghadiri kelas pada tahun depan.

    Dayang Sarimah ketika ditemu bual oleh media.
    Antara murid yang menghadiri Program Orientasi bagi Kanak-kanak Prasekolah sesi persekolahan 2023 di Sekolah Rendah Mentiri. Orientasi tersebut bertujuan untuk membiasakan murid-murid yang akan memulakan alam persekolahan tahun depan.
    Murid-murid pra dari Sekolah Rendah Mentiri semasa sesi orientasi mereka.

    Katanya lagi, dalam usaha mengawal penularan, pihak sekolah masih melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) di mana pemakaian pelitup muka dan penjarakan adalah sangat digalakkan.

    Beliau juga menyuarakan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga murid di sekolah itu atas komitmen dan kerjasama yang padu untuk kebaikan murid-murid.

    Menurut beliau, setakat ini, keramaian murid untuk 2023 di sekolah berkenaan adalah 49 orang dan ia dibahagikan kepada dua kelas.

    Antara lain tujuan program tersebut adalah untuk membiasakan diri kanak-kanak prasekolah dengan peralihan suasana dan pengalaman dari rumah ke sekolah.

    Ia diisikan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang melibatkan penyertaan semua kanak-kanak baharu iaitu mengikut kreativiti guru-guru prasekolah masing-masing dalam menyediakan suasana pembelajaran yang gembira di samping sebagai persediaan mereka mengikuti kelas prasekolah yang formal.

    Aktiviti yang dirancang merupakan sesuatu yang menyeronokkan, praktikal dan menggunakan pelbagai jenis kaedah seperti nyanyian, pergerakan, lakonan, cerita, melukis, permainan bebas dan permainan yang menggunakan pelbagai jenis bahan seperti blok, doh, bahan kitar semula dan lain-lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...