Program Pemakanan Sihat tingkatkan kesedaran masyarakat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Program Pemakanan Sihat anjuran Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan terus mendapat sokongan dengan penyertaan sebuah lagi restoran iaitu Restoran Aminah Arif.

Majlis pelancaran program berkenaan telah diadakan di Cawangan Restoran Aminah Arif, Jerudong, hari ini, di mana hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim.

Turut ialah pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan dan jemputan-jemputan khas.

Pada majlis berkenaan, Pengurus Restoran Aminah Arif, Awang Muhd Nazri bin Haji Azahari menyatakan bahawa restoran yang terkenal dengan hidangan tempatan itu menyambut baik akan inisiatif yang dilancarkan berkenaan serta yakin ia boleh menjadi kelebihan dalam mempromosikan pemakanan sihat di restoran berkenaan.

Menyentuh mengenai program berkenaan, beliau menyatakan bahawa ia merupakan salah satu strategi dan inisiatif Pusat Promosi Kesihatan di mana aspirasi mereka ialah bagi masyarakat Brunei mengamalkan gaya hidup yang sihat dan cergas dengan meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan dan pemahaman mengenai hal-hal kesihatan terutama yang berkaitan dengan gaya hidup serta pencegahan penyakit tidak berjangkit.

Dr Hajah Norhayati menyampaikan sijil penyertaan program kepada Hajah Nikmah. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada Pusat Promosi Kesihatan kerana memberikan sokongan dan bantuan kepada restoran tersebut dengan menghasilkan pilihan menu yang lebih sihat serta menjadikan mereka salah satu rakan, Pilihan Lebih Sihat.

“Dengan ini, saya harap pelanggan akan lebih peka dengan pilihan makanan yang lebih sihat daripada senarai menu yang mempunyai logo, Healthier Choice,” ujarnya.

Majlis seterusnya menyaksikan Dr Hajah Norhayati menyampaikan sijil penyertaan program kepada Pemilik Restoran Aminah Arif, Hajah Nikmah binti Haji Ibrahim.

Program Pemakanan Sihat telah dilancarkan semula pada 2019 sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan akses dan ketersediaan makanan lebih sihat di negara ini. Dengan pelancaran program berkenaan di Restoran Aminah Arif, Kementerian Kesihatan menerusi Pusat Promosi Kesihatan akan terus menyediakan sokongan dan bantuan kepada pengusaha makanan yang berminat untuk menyajikan pilihan makanan lebih sihat.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga akan terus mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya pemakanan sihat serta pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam.

Penyedia dan pengusaha makanan termasuk restoran dan kafe digalakkan untuk menyediakan menu pilihan lebih sihat dan luas dan menyertai program berkenaan. Kelayakan bagi penyedia dan pengusaha makanan untuk menyertai program berkenaan akan dinilai oleh Pusat Promosi Kesihatan dengan mana-mana penyedia atau pengusaha makanan yang menyertai program itu, harus mencapai garis panduan pemakanan sihat di mana restoran, kafe atau pengusaha harus menyajikan sekurang-kurangnya 25 peratus menu pilihan lebih sihat.

Menu berkenaan akan dianalisis oleh profesional terlatih di Pusat Promosi Kesihatan dan penyedia serta pengusaha makanan yang mengambil bahagian dalam program itu akan menyediakan pelanggan dengan pilihan makanan lebih sihat dalam saiz hidangan sederhana, memberikan pilihan bagi permintaan bagi kurang gula atau kurang garam atau kurang minyak serta membenarkan pelanggan untuk memilih pilihan lebih sihat daripada senarai menu yang sedia ada.

Makanan dan minuman yang dianggap sebagai lebih sihat akan dilabel dengan logo pilihan lebih sihat pada menu berkenaan dan untuk memastikan kepatuhan restoran atau premis makanan yang mengambil bahagian, pemeriksaan dan pemantauan secara rambang akan dikendalikan oleh Pusat Promosi Kesihatan.

Sejak pelancaran Program Pemakanan Sihat, warga Brunei kini boleh membuat pilihan makanan lebih sihat apabila mereka makan atau membawa pulang makanan dari restoran atau premis makanan terpilih.

Pada masa ini, terdapat 10 buah restoran atau premis makanan yang menyertai program berkenaan di mana ia terdiri dari restoran dan premis minuman termasuk Restoran Aminah Arif.

Sebanyak 44 peratus menu di Restoran Aminah Arif telah disenaraikan sebagai pilihan lebih sihat termasuk ikan ampap, ikan rebus, ikan rebus asam pedas, soto ayam dan soto daging.

Dengan usaha dan kerjasama semua pihak, ia akan membantu untuk mencapai Visi Kementerian Kesihatan 2035, Bersama ke arah Warga Sihat dan Wawasan Brunei 2035, Kualiti Kehidupan Tinggi.