Oleh Salawati Haji Yahya
PROGRAM Pemantapan Sahsiah Pelajar kali kedua Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menutup tirainya sejak ia dilancarkan pada 22 Mei 2018 baru-baru ini.
Program anjuran Pusat Ilmu Teras, KUPU SB itu diakhiri dengan ceramah khas bertajuk, Pembudayaan Membaca dan Memahami Al-Quran dalam pemantapan Sahsiah MIB disampaikan oleh Pemangku Timbalan Ra’es, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.
Dalam program yang melibatkan semua bakal graduan KUPU SB 2018 itu, pelbagai aktiviti telah disusun dalam usaha memantapkan lagi ilmu yang diikuti sepanjang tempoh pengajian di kolej berkenaan.

Anugerah terbaik
Majlis penutup program itu turut menyaksikan penyampaian anugerah terbaik yang disampaikan oleh Dr Haji Abang Hadzmin kepada Dayangku Nurul Haizum Azidah binti Pengiran Azmi dan Abdul Wafi bin Haji Abdul Rahman yang mana masing-masing dalam bidang Sarjana Muda Perguruan Ugama Syariah.
Antara objektif program ini adalah untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab sebagai mahasiswa lepasan KUPU SB yang berwibawa kepada agama dan negara di samping memantapkan sahsiah mahasiswa ke arah kecemerlangan insan yang bertakwa.