Program pemerkasan kemahiran harap bantu jana pendapatan

KUALA LUMPUR, 14 NOV – Program Pemerkasaan Kemahiran untuk bekas atlet kebangsaan Malaysia yang berlangsung sejak Isnin lalu, mendapat pujian daripada peserta yang percaya kemahiran yang dipelajari itu akan dapat meningkatkan pendapatan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Bekas pelumba trek Malaysia, Azrin Hazmi yang merupakan antara 100 peserta yang menyertai program anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dengan kerjasama Yayasan Hasanah itu, berkata ketika tujuh hari program berkenaan diadakan, pelbagai kemahiran telah diajar.

Menurut pelumba pecut era 1990-an yang pernah meraih gangsa Sukan SEA 1995, antaranya ialah cara permulaan perniagaan, pemasaran produk, pembungkusan, perniagaan dalam talian serta langkah mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak berkenaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tekun Nasional.

“Bagi saya ini memang satu program yang baik bagi membantu bekas-bekas atlet menambah kemahiran dan pendapatan selepas bersara daripada bidang sukan. Saya dah lebih 20 tahun bersara dan kini menjalankan perniagaan burger, ‘chicken chop’ dan barbeku di gerai dan dalam talian secara sambilan.

“Saya menyertai kursus sejuk beku, banyak yang saya belajar dan dapat meningkatkan skil dalam cara memasak serta memproses bahan sejuk beku, dan kita juga akan mendapat ‘freezer’ untuk menjalankan perniagaan ini. Nampak gayanya, selepas ini saya akan buat perniagaan ini secara sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian penutup program itu di sini, hari ini.

Turut senada, bekas atlet badminton paralimpik kebangsaan, Madzlan Saibon, yang menjalankan perniagaan membuat kaki palsu di Bagan Datuk, Perak. – Bernama