Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Program pemuliharaan selamatkan tiung terancam di Bali

    BABAHAN, INDONESIA – Sambil melentok-lentokkan jambulnya ke kiri ke kanan, tiga ekor burung tiung Bali warna putih seperti kapas berkongsi sebatang dahan, mengeluarkan bunyi keok yang kuat dan memerhati keadaan sekeliling di bawah cahaya matahari. Beberapa minit kemudian, empat ekor tiung menyertai kumpulan itu – satu pemandangan yang tidak mungkin dilihat di hutan dua dekad lalu.

    Namun menerusi kerjasama dengan penternak dan penjual burung – kumpulan sama yang telah menyumbang kepada kepupusan burung berharga itu – penyokong pemuliharaan berusaha melepaskan spesies burung berkenaan di wilayah Bali, dengan harapan dapat menambah jumlah populasi di dalam hutan.

    Menurut pakar, lebih banyak penyelidikan dan pemantauan perlu dilakukan, tetapi model pemuliharaan yang digunakan telah menunjukkan hasil positif sejak 10 tahun lalu dan mungkin boleh dijadikan contoh untuk burung terancam lain di Indonesia.

    Endemik di Bali, tiung Bali telah menjadi koleksi yang amat dicari-cari dalam perniagaan burung sangkar antarabangsa lebih daripada satu abad dulu disebabkan bulu putih spesies itu yang menarik perhatian. Penangkapan burung untuk dijual selain kehilangan habitat akibat tanah digunakan untuk kegiatan bercucuk tanam dan penempatan telah mendorong burung berkenaan disenaraikan sebagai ‘terancam’ oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa pada 1988 dan dipertingkat kepada ‘amat terancam’ pada 1994. Pada 2001, pakar menganggarkan kira-kira enam ekor tiung Bali sahaja yang masih hidup dalam hutan, dengan ribuan lain ditangkap di seluruh dunia.

    Mengambil kira budaya penternakan burung serta keperluan terdesak untuk memulihara burung tiung Bali, pertubuhan bukan kerajaan digelar BirdLife International telah berganding bahu dengan kerajaan untuk melancarkan program pembiakan dan pemuliharaan burung yang ditangkap pada 1980.

    Burung tiung Bali liar bertenggek di atas pokok di Taman Negara Bali Barat di Buleleng, Bali, Indonesia. – AP
    Anggota sukarelawan dan pekerja Sahabat Yayasan Taman Negara menangkap tiung Bali untuk dilepaskan ke hutan di Tabanan, Bali, Indonesia. – AP
    Seekor anak tiung Bali yang baru menetas kelihatan di pusat pembiakan di Tabanan, Bali, Indonesia. – AP

    Seorang penternak memeriksa burung tiung yang baru menetas dalam inkubator di pusat pembiakan di Tabanan. – AP

    Penternak boleh memohon lesen untuk menternak dan membiak burung berkenaan. Jika diluluskan, mereka diberikan burung tiung oleh kerajaan dan dibenarkan menyimpan 90 peratus daripada anak burung untuk dijual. Burung yang selebihnya akan menjalani pemulihan dan dibebaskan di Taman Negara Bali Barat, di mana burung berkenaan boleh dipantau oleh pihak berkuasa taman.

    Kaedah pemuliharaan adalah sejajar dengan budaya Indonesia, di mana sudah menjadi kelaziman untuk memiliki burung dalam sangkar dan penduduk bergantung pada perniagaan burung untuk sumber pendapatan mereka, kata Tom Squires, calon Doktor Falsafah di Universiti Metropolitan Manchester yang mengkaji ekologi tiung Bali serta burung terancam lain di Indonesia.

    “Taman negara mulai memahami dan mewujudkan keadaan di mana awda boleh memiliki burung liar untuk dipelihara,” kata Squires. “Penjaga burung masih boleh memelihara burung sebagai hobi tanpa menimbulkan masalah besar kepada burung liar – yang pada pendapat saya, adalah jauh lebih bagus daripada spesies yang akan pupus di dunia.”

    Pelepasan awal burung tiung dihambat oleh pelbagai masalah: sesetengah burung dijangkiti parasit yang mengakibatkan kadar kematian amat tinggi dalam kalangan anak burung, manakala yang lainnya dibunuh pemangsa semula jadi. Pemburuan juga semakin menjadi-jadi dan pusat pembiakan burung di taman negara pernah dirompak, dengan 40 ekor burung dicuri.

    Namun usaha pemuliharaan sejak satu dekad lalu telah mencatat kejayaan besar menerusi pengawasan burung yang meningkat, lebih banyak data bancian dan penyelidikan, ujar Squires.

    Agus Nhurah Krisna Kepakisan, ketua Taman Negara Bali Barat, juga menyumbang kejayaan program pembiakan kepada penubuhan ‘kampung penampan’ di sekitar taman. Penduduk kampung menerima bantuan dalam usaha mendapatkan permit untuk membiak tiung Bali di sana.

    “Dengan komuniti yang terdiri daripada penternak dan pembiak baka, mereka membantu kami menjaga burung yang hidup dalam habitat,” katanya. “Terdapat juga mereka yang menangkap tiung Bali dari habitat haiwan tersebut.”

    Squires berkata terdapatnya bukti kukuh menunjukkan burung-burung yang dilepaskan telah menetaskan anak burung. “Maka saya percaya populasi burung pastinya mampu bertahan sehingga satu tahap,” katanya.

    Kejayaan program pembiakan jelas kelihatan di seluruh taman, di mana Kepakisan berkata 420 tiung Bali kini hidup di pokok, rumah burung dan berkeok apabila pelancong memerhatikannya.

    Usaha pemuliharaan telah tersebar ke Tabanan Regency – perjalanan kereta yang mengambil masa tiga jam dari taman – di mana tiung terbang di sawah padi yang luas terbentang di kawasan gunung dan hutan.

    Kawasan itu telah menjadi tapak pelepasan terbaharu untuk Sahabat Yayasan Taman Negara, pertubuhan bukan keuntungan di Indonesia yang bekerjasama dengan penderma dan penternak untuk membeli, memulihara dan membebaskan burung.

    Doktor haiwan I Gede Nyoman Bayu Wirayudha, yang menubuhkan pertubuhan itu dan telah bekerja dalam program pemuliharaan tiung Bali bertahun-tahun lamanya, berkata usaha pemuliharaan menumpu sebahagiannya kepada pelaburan komuniti dalam kesejahteraan burung.

    Secara tradisi, komuniti di kawasan pemuliharaan memikirkan terdapatnya keuntungan yang diperoleh daripadanya. Namun Wirayudha percaya kehadiran burung unik akan membantu menarik pelancong, yang akan memberikan pendapatan tambahan kepada pelancongan di rantau itu.

    “Awda perlu mengembalikan sesuatu kepada komuniti supaya mereka yakin bahawa program pemuliharaan mendatangkan manfaat,” ujarnya.

    Squires berkata model pemuliharaan boleh digunakan untuk burung terancam lain di Indonesia seperti tiung bersayap hitam. “Untuk mana-mana burung tanah rendah yang terjejas oleh perniagaan burung yang ditangkap, pendekatan inilah yang diperlukan,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...