Program pendidikan pelabur UOBAM (B) diiktiraf

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Untuk tahun kedua berturut-turut, UOB Asset Management (B) Sdn Bhd (UOBAM (B) ) telah memenangi Anugerah Pendidikan Pelabur Terbaik (Brunei) pada Asia Asset Management 2020 Best of the Best Awards di mana majlis anugerah berkenaan diadakan menerusi siaran langsung dalam talian pada 18 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UOBAM, di sini, hari ini, Asia Asset Management 2020 Best of the Best Awards mengenal pasti pemain terbaik serantau daripada syarikat-syarikat perkhidmatan kewangan dan institusi pelabur kepada penyedia perkhidmatan dalam bidang-bidang seperti inovasi, perkhidmatan kepada pelanggan, amalan terbaik dan kepakaran keseluruhan dalam bidang masing-masing.

Penghargaan pendidikan pelabur itu menghargai usaha UOBAM (B) dalam program-program pendidikan meluas yang ditawarkan untuk pelabur-pelabur yang mempunyai latar belakang dan matlamat pelaburan yang berbeza.

Latihan itu bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan pelaburan klien dan memastikan bahawa mereka terus peka akan perkembangan terkini pasaran.

Kenyataan menyatakan bahawa sepanjang tahun lepas, klien institusi UOBAM (B) telah meraih manfaat daripada kursus-kursus profesional yang menumpukan kepada topik kuantitatif bagi pengurus portfolio, penganalisis dan pengurus risiko serta sesi persediaan tahunan bagi peperiksaan Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA).

Program-program berkenaan dapat dilaksanakan melalui kerjasama erat UOBAM (B) dengan penyedia-penyedia latihan dan universiti-universiti antarabangsa termasuk Centre for Asset Management Research & Investments (CAMRI) di Business School, National University of Singapore.

Klien UOBAM (B) turut menghadiri sesi seminar dan latihan di Negara Brunei Darussalam dan luar negara termasuk menerusi webinar di mana mereka mendengar penerangan daripada pakar-pakar bagi topik pelaburan seperti kecerdasan buatan dalam pelaburan, pelaburan mampan, pelaburan alternatif dan bagaimana FinTech boleh mentransformasikan kewangan konvensional.

Pengurus Besar UOBAM (B), Kamal Haji Muhammad menyatakan bahawa UOBAM (B) amat mengambil berat mengenai program pendidikannya kerana ia membantu klien mereka terus peka akan perkembangan semasa dan membantu mereka membuat keputusan pelaburan yang lebih baik.

Beliau menambah bahawa dengan keadaan turun naik pasaran dalam beberapa bulan kebelakangan ini, adalah amat penting untuk membantu pelabur mereka mengemudi dalam keadaan yang tidak menentu itu.