Program perkhemahan berakhir

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Program Perkhemahan Hijrah Mahabbah Lillah ke-7 anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang berlangsung selama empat hari bermula 7 Disember lalu telah berakhir hari ini dengan majlis penutup dan penyampaian sijil yang berlangsung di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Gadong.

Penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Majlis juga diselitkan dengan ceramah motivasi bertajuk ‘Cahaya Penyuluh Kehidupan’ yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang UNISSA, Dr Widad binti Haji Abdul Aziz.

Menurut kenyataan yang diberikan, program perkhemahan berkenaan dikendalikan bersama Kumpulan Al-Qudwah yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Berlangsung di Kolej Kediaman Mahasiswa UNISSA, perkhemahan belia yang bertemakan ‘Cahaya Penyuluh Kehidupan 2.0’ itu disertai oleh seramai 102 orang peserta (62 orang lelaki dan 40 orang perempuan) yang terdiri daripada para pelajar dari beberapa buah sekolah yang berumur antara 14 hingga 17 tahun.

Program bertujuan untuk meningkatkan keimanan dan jati diri para peserta melalui pendekatan Al-Quran dan As-Sunnah, serta menanamkan sikap bertanggungjawab dan amanah di samping menguji kemampuan dan ketahanan mental, emosi dan fizikal setiap peserta.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan termasuk ceramah motivasi, bengkel kerohanian, aktiviti kepimpinan, gotong-royong, sukan dan riadah.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama menyerahkan sijil kepada para peserta di majlis berkenaan
Antara yang hadir pada majlis penutup perkhemahan tersebut.