Program pertingkat kemahiran tenaga kerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Dalam usaha untuk memperkenalkan kepada syarikat-syarikat tempatan mengenai maklumat unjuran keperluan tenaga kerja yang terkini di sektor tenaga serta garis pandu dan proses pendaftaran untuk menjadi sebuah Registered Training Organisation (RTO) bagi membolehkan mereka menjalankan program-program Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) khusus bagi sektor tenaga, Kementerian Pendidikan, Kementerian Tenaga dan Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Manpower Industry Steering Committee (MISC) Energy iaitu satu jawatankuasa pandu di bawah MPEC, IBTE dan Safety, Health and Environment National Authority (SHENA) akan mengadakan sesi Market Engagement Day for Training Organisations pada 11 Ogos 2020, dari 7:45 pagi hingga 12 tengah hari bertempat di Banquet Hall, Jabatan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan.

Dalam satu kenyataan yang diterima, beberapa program kemahiran baharu akan diperkenalkan semasa sesi berkenaan seperti iSkill NTEC Level 3 Welding, iSkill ISQ Level 2 Scaffolding, iSkill ISQ Level 2 Riggers, iSkill ISQ Level 2 Blaster Painter, iSkill ISQ Level 2 Marker/Pipe Fitter dan ISQ Level 2 Welding.

Program-program tersebut telah dibentuk dengan kerjasama di antara pihak industri, IBTE dan pihak pengawal selia melalui MISC Energy, yang bertujuan bagi memastikan pelatih tempatan mempunyai kemahiran yang bersesuaian dan memenuhi kehendak industri. Pelaksanaan program ini akan dibukakan kepada pusat latihan kerajaan mahupun swasta yang berdaftar di Kementerian Pendidikan.

Syarikat yang berminat untuk menghadiri sesi berkenaan dikehendaki membuat pendaftaran terlebih dahulu ke Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan melalui e-mel [email protected] atau menghubungi talian 2382621 waktu pejabat.

Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 10 Ogos 2020 jam 12 tengah hari.