Sunday, August 14, 2022
25.2 C
Brunei

Program PLKI-ECRL lahir jurutera berkemahiran

-

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan projek kereta api mega Malaysia yang dibina bersama Syarikat Pembinaan Komunikasi China (CCCC) dan dijangka memberikan banyak faedah kepada Malaysia apabila ia siap termasuk meningkatkan jumlah kemahiran tempatan dalam industri kereta api.

Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) telah dijalankan oleh CCCC dan Malasia Rail Link (MRL), dengan kerjasama dari Beijing Jiaotong University, Southwest Jiaotong University of China dan lebih 10 buah institusi pendidikan dan latihan di Malaysia. Program tersebut direka untuk melatih 5,000 orang juruteknik dalam pembinaan dan operasi kereta api bagi negara itu.

Antara yang menyertai program tersebut ialah Muhammad Syahmin bin Zainol, seorang jurutera lapangan pene-mpatan laluan utiliti, yang mendaftar untuk menyertai program itu pada 2017 selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Malaysia Pahang.

Syahmin menjelaskan dia mempunyai minat terhadap kereta api sejak dulu lagi selepas menonton dokumentari-dokumentari pembinaan kereta api di China, dan mencetuskan minat dalam kejuruteraan awam dan sektor kereta api. Melalui program PLKI-ECRL membolehkan dia untuk mencapai cita-citanya.

“Program itu telah membuka laluan yang saya impikan sejak kecil. Ia sangat penting dan berguna kepada saya untuk menyertai PLKI-ECRL kerana menyertai projek mega bukan mudah bagi lepasan universiti baharu.

Muhammad Syahmin (tengah) semasa berada di tapak pembinaan laluan kereta api di Pahang, Malaysia. –Xinhua
Muhammad Syahmin berkata melalui program yang ditawarkan itu dia mendapat banyak pengetahuan dan membolehkannya mencapai cita-cita sejak kecil. – Xinhua
Gambar yang diambil pada 25 Julai lalu menunjukkan tapak pembinaan projek ECRL di Pahang Malaysia. Melalui projek itu dijangka memberikan pelbagai faedah kepada negara itu apabila ia siap termasuk meningkatkan jumlah kemahiran tempatan dalam industri kereta api.– Xinhua

“Untuk menyertai projek mega di Malaysia, seseorang itu mesti mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun. Jadi untuk menyertai program ini bagi lepasan baharu adalah sangat penting,” Syahmin memberitahu Xinhua semasa temu bual baru-baru ini.

“Mereka menghantar pensyarah dari Beijing Jiaotong University untuk mengajar kami kursus bagi jurutera kereta api. Semasa mula-mula saya menyertai kursus tersebut, mereka mengajarkan mengenai jurutera kereta api, pembinaan jambatan, terowong dan juga bahasa asas Mandarin,” katanya.

Dia juga mendapati kelas-kelas yang diajarkan, termasuk kelas bahasa Mandarin, sangat menyeronokkan dan informatif.

Selain daripada kursus informatif yang ditawarkan, program PLKI-ECRL juga membantunya untuk menjadi seorang yang boleh bekerja secara berpasukan dengan persekitaran kerja yang kondusif, di mana mereka diberikan panduan yang berguna daripada tenaga pengajar.

“Di sini sangat menitikberatkan kerja berpasukan. Saya boleh pergi berjumpa sesiapa sahaja dan meminta tunjuk ajar bagaimana untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

“Jika saya mempunyai idea, saya boleh menyuarakannya. Jadi ia sangat membina dan saya banyak belajar.

“Bagi pandangan saya, CCCC adalah seperti sebuah keluarga,” katanya, menambah bahawa bekerja di sana sangat menyeronokkan dan memenuhi cita-citanya.

Setakat ini, ratusan rakyat Malaysia berjaya menamatkan latihan di PLKI-ECRL dan menyertai ECRL sebagai jurutera dan pengendali jentera berat.

Tang Zhen, yang bertanggungjawab bagi sumber manusia Syarikat ECRL Sdn Bhd, berkata program itu, yang disasarkan untuk menghasilkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan, terutama bagi mereka yang tinggal di pantai timur.

Program itu adalah suatu peluang untuk mereka mengejar pembangunan karier dan memperbaiki standard kehidupan.

Ketika mengadakan kunjungan di tapak pembinaan ECRL Jun lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program itu telah melatih ramai penduduk tempatan dalam industri kereta api dan akan berjaya melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang itu.

Laluan ECRL dibina dari hab pengangkutan terbesar Malaysia di Pelabuhan Klang dan merentasi semenanjung hingga ke Kelantan di utara Malaysia.

Laluan kereta api itu dijangka akan meningkatkan perhubungan dan memberikan lebih keseimbangan negara itu dengan menghubungkan wilayah membangun di pantai timur ke kawasan ekonomi pesat menjelang siap pelaksanaannya pada 2026. – Xinhua

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -