Program promosikan penjagaan diri wanita

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Dengan matlamat untuk mempromosikan dan menggalakkan penjagaan diri, Rangkaian Alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara Akademi Kepimpinan Wanita (WLA) (YSEALI) Brunei akan menganjurkan Program Hujung Minggu Penjagaan Diri bermula pada 26 hingga 28 November secara maya.

Program itu merupakan sebahagian daripada projek susulan Rangkaian Alumni WLA YSEALI Brunei bagi 2021 di mana ia merangkumi beberapa sesi termasuk Bengkel Meditasi oleh Fauziyyah Manap, sesi senaman Bodyweight Home Workout dengan Maria Taha, Bengkel Jurnal dengan Petal Athirah, Morning Detox Flow dengan Yoshie Ito, Sesi Seni Terapeutik bersama Syahirah Chua dan Siri WomEmpowerment, a Fireside Chat on Women’s Health and Fitness bersama Maria Taha dan Rachael Lee.

Program itu bukan sahaja bermatlamat untuk mempromosikan dan menggalakkan penjagaan diri tetapi juga meneroka pelbagai kaedah penjagaan diri termasuk fizikal, persendirian, emosi, psikologi dan kerohanian serta untuk lebih memahami kecergasan dan kesihatan wanita menerusi perspektif berbeza.

Program itu adalah terbuka kepada semua dengan percuma di mana kesemua sesi akan dikendalikan melalui Zoom dengan mereka yang ingin untuk mengetahui lanjut mengenai program boleh melayari laman sesawang YSEALI WLA.

YSEALI yang dilancarkan pada 2013 merupakan sebuah program utama kerajaan Amerika Syarikat untuk mengukuhkan rangkaian dan pembangunan kepimpinan di Asia Tenggara.

Menerusi pelbagai program dan penglibatan termasuk pertukaran kebudayaan dan pendidikan Amerika Syarikat, pertukaran serantau dan pembiayaan benih (seed funding), YSEALI berhasrat untuk membina keupayaan kepimpinan belia dalam rantau Asia Tenggara serta mengukuhkan hubungan di antara Asia Tenggara dan Amerika Syarikat dan memupuk sebuah Komuniti ASEAN.

YSEALI menumpukan kepada topik-topik kritikal yang dikenal pasti oleh belia di rantau ini termasuk penglibatan sivik, pembangunan mampan, pendidikan dan pertumbuhan ekonomi.

YSEALI WLA setiap tahun mengumpulkan pemimpin-pemimpin wanita dari ASEAN untuk mempromosikan pembangunan kapasiti ekonomi melalui amalan terbaik antarabangsa.

Sehingga hari ini, Rangkaian Alumni Brunei merangkumi seramai 22 orang pemimpin wanita sejak Brunei menyertai WLA buat kali pertama pada 2015.