Wednesday, February 1, 2023
25.4 C
Brunei

-

Program PSOL labuh tirai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – PETRONAS School of Life (PSOL) 2022 meraikan penyempurnaan program tersebut dengan majlis penutup yang diadakan di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson, di ibu negara, kelmarin.

Dianjurkan oleh PETRONAS Carigali Brunei Ltd (PCBL), yang memulakan program tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat, majlis penutup diserikan dengan penyampaian sijil oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh serta pegawai-pegawai kerajaan, ketua-ketua institusi, para penceramah dan pelajar-pelajar.

Ketua Bahagian Sumber-sumber Manusia dan Komunikasi Strategik & Pentadbir PCBL, Pengiran Hajah Nor’ Camellia binti Pengiran Haji Mohiddin dalam ucapannya berkata mereka gembira mendengar maklum balas positif daripada para peserta, dan ia akan menggalakkan mereka untuk meneruskan program PSOL pada masa hadapan.

“Ini adalah satu peristiwa penting dan kami yakin akan melihat belia lebih bersedia untuk bekerja dan berjaya dalam kerjaya mereka, tetapi juga menjadi kumpulan pemimpin yang berimpak, berdaya tahan yang memberi impak terhadap alam sekitar apabila mereka tamat pengajian,” tambahnya.

Dr Haji Azman bergambar ramai bersama peserta program pada majlis yang berlangsung di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson, di ibu negara, baru-baru ini.

Melalui lima sesi intensif dalam tempoh tiga bulan lepas di UBD, UTB, PB, UNISSA dan IBTE, program tersebut melatih 300 orang pelajar di lima institusi tinggi di Brunei serta anak muda daripada rangkaian belia dan kolej lain. PCBL juga bertuah untuk menerima sokongan daripada organisasi yang menghantar eksekutif kanan mereka untuk berkongsi pengalaman mereka dengan para pelajar.

Seramai 30 penceramah jemputan daripada 10 industri berbeza dan latar belakang terbilang telah dijemput untuk mengongsikan pengalaman mereka, termasuk orang kenamaan, wakil kerajaan, profesional dan usahawan.

Kurator Program Sekolah Kehidupan PETRONAS, Shaun Hoon dalam ucapannya antara lain mengongsikan bahawa terdapat banyak lagi pengajaran hebat yang dipelajari sepanjang tiga bulan yang lalu.

“Melalui pengalaman bersama PCBL, kami berpeluang bertemu dengan beberapa penceramah paling luar biasa. Beberapa cerita telah merubah saya secara mendalam.”

Majlis penutup itu turut menampilkan lima ketua pelajar terpilih untuk berkongsi testimoni melalui perbincangan panel manakala pelajar jemputan turut mendapat keistimewaan untuk menjalin rangkaian, belajar dan berkongsi pengalaman mereka dengan tetamu jemputan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korban bom masjid meningkat lebih 90

PESHAWAR, PAKISTAN, 31 JAN – Pengeboman berani mati yang berlaku di masjid dalam ibu pejabat polis daerah Peshawar dan kawasan kerajaan di barat laut...
- Advertisment -