Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Program pupuk minat ilmu Islam

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Sebagai usaha untuk memupuk nilai-nilai pembentukan dan pembangunan insan syumul dalam kalangan warganya dan orang awam, Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Eksekutif Keagamaan dan Kerohanian (EKK), Persatuan Mahasiswa UBD (PMUBD) menganjurkan Minggu Aspirasi Islam (IAW) 2023 yang membuka tirainya hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi melancarkan program di Inspiring Hall, Student Centre, UBD ialah Pemangku Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran) dan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), UBD, Profesor Madya Pengiran Dr Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra yang sekali gus turut menyaksikan pameran sebagai pengisian utama.

    Ketua Eksekutif Keugamaan dan Kerohanian bagi Sesi 2023 / 2024, Dayang Nurul Musyafaahtul Ain binti Haji Idris dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan tema program pada tahun ini adalah ‘Sumbangan dalam Islam: Kesenian, Sains dan Ulama-ulama Agung’, yang dipilih untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang sumbangan ilmu atau dalam sains dan seni oleh tokoh-tokoh Islam yang mulia.

    Dalam pada itu tema tersebut turut membuktikan para ulama Islam berjaya mengembangkan banyak idea dan teori dalam pelbagai bidang ilmu, dan juga sumbangan mereka yang membawa banyak impak yang besar kepada masyarakat sehingga ke detik ini.

    Pameran yang diketengahkan oleh mahasiswa dan mahasiswi UBD itu merangkumi empat tajuk iaitu Sains dan Astronomi, Sosiologi Islam, Perniagaan Berteraskan Islam dan Hati Seni.

    Dayang Nurul Musyafaahtul Ain semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada program tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Profesor Madya Pengiran Dr Mohd Iskandar semasa menyaksikan pameran yang diadakan di Inspiring Hall, Student Centre, UBD. – Gambar oleh Muiz Matdani

    IAW yang merupakan penganjuran kali ke-11 itu akan berlangsung sehingga 14 September dan turut disokong oleh Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, PMUBD serta golongan sukarelawan mahasiswa dan mahasiswi UBD yang terlibat bagi sama-sama menghidupkan semua program tahunan tersebut.

    Dalam pada itu, program juga diharap untuk memantapkan ukhuwah dan mahabbah serta memupuk minat para pengunjung terhadap ilmu Islam yang diketengahkan.

    Antara pengisian menarik yang turut menyemarakkan sepanjang program itu ialah kursus seni kaligrafi, tadabbur Surah Al-Kahfi, pengurusan jenazah, ukhuwah walkaton dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...