Program Qiamulail tangani gejala sosial

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Bagi menangani gejala sosial dalam kalangan belia masjid, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Liang mengadakan Program Qiamulail bagi Belia Masjid Daerah Belait bermula kelmarin sehingga hari ini di Masjid Kampung Sungai Liang.

Seramai 50 orang belia masjid mengikut program yang dihadiri oleh tetamu kehormat, Ketua Bahagian Idarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Program dihasratkan menggalakkan belia mendekati masjid, membiasakan belia bersilaturahim dengan jemaah dan AJK takmir masjid. Ia juga bertujuan melatih para peserta membantu dalam pentadbiran hal ehwal masjid selain mengisi masa belia dengan mengikuti aktiviti masjid serta mendidik mereka agar tidak terpengaruh dengan gejala sosial.

Program diisikan dengan tazkirah bertajuk Belia Harapan Masyarakat Sayang, diikuti dengan aktiviti bertemakan Siapa Sahabat Saya manakala pada hari seterusnya, para peserta bersama-sama sembahyang Fardu Subuh berjemaah dan membaca Surah Al-Waqiah serta fadilatnya. Peserta juga menyertai kempen kebersihan dalam dan luar masjid.

Haji Asminan bergambar bersama para belia yang menyertai program Qiamulail di Masjid Kampung Sungai Liang.