Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Puluhan pemain muda bola sepak mengambil bahagian dalam Hari Bola Sepak Akar Umbi Konfederasi Bolasepak Asian (AFC)/Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas, Kampung Bengkurong, hari ini.
Majlis tersebut dianjurkan oleh FABD dan disokong oleh MSN United, di mana pemain-pemain bawah 12 tahun dibahagikan kepada lapan buah pasukan atau rumah dengan jurulatih turut ditugaskan dalam setiap pasukan.
Sesi serupa diadakan dalam format liga akan diadakan sepanjang beberapa hari pada hari Ahad.
Antara rumah-rumah yang mengambil bahagian termasuk Merpati, Nuri, Kenari, Layang, Tiong Batu, Raja Udang, Murai dan Pipit.
Siri perlawanan yang diadakan itu akan memberikan peluang kepada pemain-pemain muda untuk bermain dengan lebih kerap terutama selepas aktiviti awam dan sukan disambung semula.
Bagi memberikan suasana perlawanan sebenar, pemain-pemain turut merasai pengalaman turun ke padang dengan lagu tema AFC dimainkan.
Ketua Unit Pembangunan Akar Umbi FABD, Haji Rozaimienizam bin Haji Jainal berkata, “Kami sedang mempromosikan sukan bola sepak, mengamalkan cara hidup sihat dan aktiviti fizikal.
“Kini kami bersiap sedia untuk bola sepak kanak-kanak namun pada masa yang sama kami ingin memberikan nilai tambah kepada masyarakat terutama ibu bapa dan penonton,” tambahnya.
“Selain itu kami turut menyediakan permainan yang menyeronokkan untuk mereka. Kami menawarkan perlawanan-perlawanan kecil dan sebaik sahaja mereka menyertainya, mereka akan disenaraikan ke dalam undian bertuah,” katanya.
Sebelum perlawanan bermula, para pemain menyertai sesi latihan kemahiran asas bola sepak.