Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Program Sivik dedah dunia keusahawanan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Ilmu yang diperoleh dalam Program Sivik Mahasiswa dan Mahasiswi banyak memberikan manfaat kepada para peserta di mana ia menunjukkan mereka sebagai belia masih perlu untuk berkecimpung dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Peserta Program dan mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Wafi bin Haji Abdul Rahman dalam temu bual ringkas bersama Media Permata semasa Majlis Penyampaian Sijil Program Sivik Mahasiswa dan Mahasiswi kali Pertama bagi 2022 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, hari ini.

    Beliau menjelaskan lagi bahawa program itu juga memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali dunia keusahawanan semasa lawatan ke Daerah Tutong dan mengenali dengan lebih mendalam kerjaya dalam bidang ketenteraan menerusi lawatan ke Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Menerangkan lanjut mengenai program itu, Awang Abdul Wafi menyatakan bahawa setiap program mempunyai keunikannya yang tersendiri dan program yang disertainya ini, menumpukan kepada bagaimana untuk membentuk diri seseorang belia yang sentiasa lengkap dengan ilmu pengetahuan, keagamaan dan sosialisasinya dengan masyarakat luar.

    Di samping itu, dalam program kali ini, ulasnya, ia lebih menekankan kepada penerapan nilai-nilai Melayu Islam Beraja, di mana mereka diberikan pendedahan mengenai kehidupan masyarakat yang tinggal di luar bandar.

    Dayang Siti Bismi Nuruliman menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Program Sivik Mahasiswa dan Mahasiswi kali Pertama bagi 2022.
    Awang Abdul Wafi berkata pendedahan semasa program menunjukkan kepada mereka selaku belia masih perlu untuk berkecimpung dalam pelbagai bidang.

    Sementara itu, peserta program iaitu mahasiswi KUPU SB, Dayang Nur Tajwiida
    Insyirah binti Haji Isa ketika mengulas mengenai hasil dapatan menerusi penyertaan
    dalam program itu, menjelaskan bahawa taklimat-taklimat yang diberikan telah memberikan mereka ilmu baharu dan lawatan yang diadakan pula banyak memberikan mereka pengalaman baharu.

    Beliau menyatakan harapan supaya program yang amat bermanfaat itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang serta berpendapat ia boleh dibukakan kepada orang ramai bagi membuka minda supaya mereka akan dapat mengetahui dengan lebih dekat mengenai Negara Brunei Darussalam.

    Terdahulu pada majlis penyampaian sijil berkenaan, seramai 50 orang peserta program telah menerima sijil mereka yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Emzah selaku pengerusi Program Sivik
    Mahasiswa dan Mahasiswi kali Pertama bagi 2022.

    Sebelum majlis penyampaian sijil, pada sebelah pagi, para peserta telah menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh Penolong Profesor Kanan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani yang menerangkan mengenai definisi Maqasid Syariah, yang bermaksud tujuan yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia di dunia dan di akhirat sama ada untuk mendapatkan maslahah iaitu mencapai kebaikan dan mengelak mafsadah iaitu menolak keburukan.

    Beliau turut menjelaskan kewajiban dalam menuntut ilmu ialah sebagai salah satu amanah iaitu amanah dari Allah SWT untuk kita jalankan.

    Di samping itu, para peserta program juga berpeluang mendengar ceramah motivasi bertajuk ‘Kepentingan Kesihatan Mental’, yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Kaunseling Brunei (PERKAB), Mejar (B) Rusli bin Bujang.

    Dalam ceramah itu, beliau mengongsi mengenai keperluan untuk meningkatkan
    kesedaran akan kepentingan kesihatan mental.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...