Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Dengan matlamat menawarkan pelbagai aktiviti dan sesi untuk mempromosikan kesedaran dan sokongan untuk komuniti keperluan khas, Projek Impian telah menganjurkan Special Needs Resource Fair and Forum di Pusat Membeli-belah OneCity, Kampung Salambigar.
Pesta yang berlangsung sehari ini berfungsi sebagai pusat sumber sehenti yang unik, menghimpunkan individu dengan keperluan khas, ibu bapa, guru, profesional kesihatan dan orang ramai dengan menghubungkan mereka dengan lebih 20 penyedia perkhidmatan dan organisasi keperluan khas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan pesta berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir ialah para wakil dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Pendidikan serta orang awam yang memberi sokongan terhadap inklusiviti dan kerjasama komuniti.
Antara acara utama yang dianjurkan termasuk Forum Keperluan Khas, yang menampilkan perbincangan Masa Depan Pendidikan Keperluan Khas: Kualiti dan Akses, yang dikendalikan oleh tiga pakar antarabangsa iaitu Profesor Madya Dr Hasnah Toran, Profesor Dato’ Dr Mat Saat Baki serta Faith Ng dengan Allen Shim sebagai moderator.
Selain itu, turut diadakan juga sesi Fireside Chat dengan ibu bapa keperluan khas yang membincangkan topik kesihatan mental manakala Persatuan BI-JAK juga menyumbang dengan sesi bengkel bahasa isyarat.
Pengasas Projek Impian, Dayang Lailatul Zubaidah Hussain, juga seorang penyokong komuniti keperluan khas, berkata, “Acara ini adalah bukti kekuatan dan potensi komuniti kita apabila kita bersama. Dengan menyediakan platform untuk pendidikan dan kerjasama, kami berharap dapat memperkasa keluarga dan individu dengan keperluan khas untuk terus berkembang dan berjaya dalam hidup.”
Acara ini disokong oleh beberapa penaja, termasuk Bank Islam Brunei Darussalam, Coffee Bean & Tea Leaf, Print Plus Sdn Bhd, Say Cheese Photobooth Studio dan Snap by Prysm, yang telah memberikan sumbangan bagi menjayakan dan memeriahkan acara ini.