Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Program ‘Strayholders’ Tahun 2018 berakhir hari ini dengan majlis penutup yang diadakan di Dewan Penghayatan, Institut Perkhidmatan Awam (IPA) Rimba, Gadong, pagi tadi.
Seramai 28 orang belia yang telah menghadiri Bengkel ‘Strayholders’ dan juga 60 orang sukarelawan dari institusi pengajian tinggi di negara ini yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan telah menerima sijil-sijil penghargaan mereka pada majlis tersebut.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil-sijil berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mehmet Suat Akgun dan Pengarah Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hajah Noor Airah binti Haji Abdul Rahman.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh salah seorang peserta, Awang Mohd Hilmy Baihaqi bin Haji Awang Yussof dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kumpulan Projek Program ‘Strayholders’ 2018, Dayang Noor Amal Azirah binti Haji Azlan.
Beliau dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa walaupun Program ‘Strayholders’ tersebut telah berakhir dengan rasminya tetapi hakikatnya perjuangan dalam matlamat untuk membantu binatang-binatang terbiar di negara ini akan tetap diteruskan, di mana para peserta Program Eksekutif Muda Kohort ke-2 kini telah memulakan satu projek untuk membantu seorang wanita bersara yang mengalami kesukaran untuk memelihara binatang-binatang terbiar di rumahnya.
“Walaupun untuk menyelesaikan isu-isu binatang terbiar ini bukanlah suatu yang mudah untuk dilaksanakan dengan sekelip mata, akan tetapi peserta Program Eksekutif Muda Kohort ke-2 tetap berhasrat untuk meneruskan perjuangan Program ‘Strayholders’ ke-2 yang diharap akan dapat membantu untuk menyelesaikan masalah binatang terbiar di negara ini,” tambah beliau.
Program ‘Strayholders’ 2018 diadakan antara lain bertujuan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran kepada belia mengenai dengan isu binatang terbiar, selain bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran para belia tentang tanggungjawab untuk menjaga binatang peliharaan.
Program yang telah dilancarkan pada 5 Disember 2017 lalu ini juga telah menjalankan pelbagai aktiviti seperti ceramah, perbincangan dan lawatan ke tempat-tempat yang berkaitan dengan isu-isu yang dibincangkan.
Di samping itu, para peserta program ini juga telah menyertai aktiviti kemasyarakatan dengan harapan untuk meningkatkan kemahiran sekali gus dapat menambahkan dan menerapkan ilmu kepimpinan dalam diri para peserta program berkenaan.
Program di bawah kendalian IPA ini merupakan salah satu projek anjuran para peserta Program Eksekutif Muda Kohort ke-2 yang terdiri daripada lima orang pegawai dari Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Lima pegawai berkenaan terdiri daripada Dayang Noor Amal Azirah, Darryl Tieng Woo Siong sebagai penolong ketua kumpulan, Dayang Nor Amalina binti Haji Abdul Rahim, Dayang Nur Nazurah binti Haji Muhd Alizul dan Awang Mohd Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.