Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Sua Muka di Temburong, KB

    TEMBURONG/KUALA BELAIT, 20 Mac – Dalam usaha mendekati penduduk kampung, Program Sua Muka diteruskan lagi di Kampung Senukuh, Temburong dan Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait baru-baru ini.

    Program diungkayahkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri itu diadakan di kediaman Ketua Kampung Senukuh, Awang Yusof bin Haji Maidin, manakala di Kampung Sungai Teraban ia diadakan di kediaman Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi bin Haji Mohd Shara.

    Kedua-dua program dianjurkan oleh cawangan Jabatan Penerangan daerah masing-masing.

    Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ke Kampung Senukuh ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad manakala di Kampung Sungai Teraban diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan Dayang Hajah Noorashidah binti Aliomar.

    Turut serta ialah pegawai-pegawai dan kakitangan beberapa bahagian unit di Jabatan Penerangan.

    Gambar ramai warga Jabatan Penerangan semasa Program Sua Muka di Kampung Senukuh.
    Gambar ramai warga Jabatan Penerangan semasa Program Sua Muka di Kampung Senukuh.
    Salah seorang pegawai menyampaikan maklumat pada program itu.
    Salah seorang pegawai menyampaikan maklumat pada program itu.

    Pada program itu, rombongan Jabatan Penerangan menyampaikan dasar dan maksud kerajaan demi memelihara perpaduan kehidupan bermasyarakat, cintakan agama, bangsa, raja dan negara.

    Ia juga mencungkil isu-isu dan pendapat serta cadangan-cadangan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan serta memberigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung terutamanya tempat dan produk untuk  diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara melalui penulisan rencana Kenali Negara Kitani (KNK).

    Melalui program itu juga, pihak jabatan memberigakan penggunaan bendera, kain rentang dan bahan-bahan yang berkepentingan nasional, Wawasan Brunei 2035 dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

    Manakala pihak majlis perundingan kampung (MPK) dan penduduk kampung pula memberikan cadangan mengenai saliran dan longkang, laluan Sungai Senukuh, cadangan pembesaran jalan, permohonan dan kedudukan tanah dan tahap pemancaran Radio Televisyen Brunei (RTB) di sana.

    Manakala pihak MPK dan penduduk kampung di Sungai Teraban pula membangkitkan isu-isu pemeliharaan alam sekitar, prasarana, hal ehwal kebajikan, keselamatan dan sosial kampung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda