Program Sua Muka diteruskan di Mukim Serasa

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Dis – Program Sua Muka Jabatan Penerangan diteruskan lagi hari ini di rumah Penghulu Mukim Serasa, Mejar (B) Haji Johari bin Haji Abdul Razak dalam usaha untuk terus mendekati penduduk kampung di negara ini.

Rombongan Jabatan Penerangan telah dialu-alukan oleh Mejar (B) Haji Johari dan ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK). Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nurul-iman binti Awang Emzah dan disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Program berkenaan adalah salah satu aktiviti berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dalam usaha untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan.

Ia merupakan salah satu program di bawah strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka, yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan rakyat.

Program merupakan platform untuk menyampaikan dasar dan maksud kerajaan demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat, ke arah cintakan agama, bangsa, raja dan negara.

Selain itu, ia juga diadakan untuk mendapatkan isu-isu dan pendapat, cadangan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan, memberigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung terutamanya tempat dan produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara melalui penulisan rencana Kenali Negara Kitani (KNK) untuk disiarkan di Pelita Brunei, selaras dengan peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan.

Manakala itu, antara yang dikongsikan daripada pihak MPK dan majlis perundingan mukim serta penduduk kampung adalah permasalahan termasuk cadangan yang berkaitan dengan keselamatan, prasarana, kemudahan awam, alam sekitar dan masalah sosial.