BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait dan Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan mene-ruskan lagi Program Sua Muka yang diadakan di kediaman Ketua Kampung Pandan ‘C’, Haji Affandy bin Awang Damit di Mukim Kuala Belait.
Rombongan Jabatan Penerangan diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar yang disertai oleh pegawai dan kakitangan dari beberapa bahagian dan unit yang berkenaan.
Program yang bertujuan untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan itu merupakan platform untuk menyampaikan dasar dan maksud kerajaan demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat, ke arah cintakan agama, bangsa, raja dan negara.
Selain itu, ia juga untuk mendapatkan isu-isu dan pendapat, cadangan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan.
Antara lain ia juga untuk membarigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung, terutamanya tempat dan produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara melalui penulisan rencana Kenali Negara Kitani (KNK) untuk disiarkan.

Pihak rombongan juga menerangkan mengenai penggunaan bendera, kain rentang dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional serta bahan-bahan bacaan mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.
Sementara itu, pihak majlis perundingan kampung (MPK) dan penduduk kampung pula mengongsikan mengenai keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung serta isu-isu alam sekitar dan pembangunan.
Pihak Jabatan Penerangan turut mengongsikan Program Masyarakat Bermaklumat kepada ahli MPK bagi menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami dan menghayatinya secara berkesan, bukan sahaja melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan malah juga melalui lawatan-lawatan mengikut kesesuaian.
Program sebegini diharap dapat memupuk semangat kekitaan dan bertanggungjawab terhadap negara serta menyemai hubungan yang erat antara kerajaan dengan rakyat.