Program Syabab Al-Azhar pupuk nilai terpuji

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memberikan bantuan ke arah kemajuan dan pembangunan negara, Rabitah Antarabangsa ALUMNI Al-Azhar Brunei Darussalam (WAAG) telah menjalankan Program Syabab Al-Azhar Prihatin dengan aktiviti membersihkan kediaman seorang penduduk Kampung Pengkalan Sibabau kelmarin.

Program yang dilaksanakan di kediaman Dayang Noriah binti Samat tersebut telah diketuai oleh Pengerusi Lajnah Belia WAAG, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Aktiviti turut dihadiri oleh Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali selaku Timbalan Raes Alumni Al-Azhar, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, ahli-ahli Lajnah Belia serta wakil-wakil Badan Kebajikan Penuntut Brunei di Kaherah yang menuntut di Universiti Al-Azhar.

Program anjuran Lajnah Belia itu merupakan susulan daripada program sebelumnya dan lebih memfokuskan kepada pemedulian kesejahteraan tempat kediaman penerima dan akan ditransformasikan sehinggalah ia selesa untuk didiami mengikut fasa-fasa tertentu.

Program berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan, malah untuk mengumpulkan alumni-alumni Al-Azhar khususnya daripada golongan belia untuk sama-sama berbakti kepada masyarakat di samping dapat sama-sama meraih keredaan Allah SWT.

Pengiran Ahmad Faris Ramadhani menyampaikan sumbangan kepada Dayang Noriah.