Program tambah rasa cintakan Rasulullah SAW

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Badan Sukarelawan Belia Daie di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan kerjasama Bahgian Media, PDI, kelmarin, telah mengadakan Program Rasulullah Teladan Kitani sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW yang berlangsung secara maya.

Majlis diadakan melalui aplikasi Google Meet dan dibukakan kepada orang ramai melalui media sosial Instagram rasmi PDI dan Instagram rasmi Belia Daie.

Tetamu kehormat program ialah Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub. Turut serta ialah pegawai-pegawai PDI serta mentor dan aktivis Badan Sukarelawan Belia Daie.

Program bertujuan untuk mengajak orang ramai menambahkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis ilmu dan pembacaan qasidah secara dalam talian. Ia juga membuka peluang untuk asatizah dan Belia Daie berdakwah serta berkongsi ilmu yang bermanfaat.

Di samping itu, program merupakan salah satu cara agar sentiasa memperingati Rasulullah SAW terutama sekali dalam bulan Rabiulawal.

Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar dan persembahan qasidah sebelum tazkirah pertama bertajuk Akhlak yang Agung yang disampaikan oleh Awang Arif bin Johari diikuti dengan persembahan Spoken Words daripada Awang Muhammad Iqmar Yazdi bin Osli.

Kemudian program diteruskan lagi dengan tazkirah kedua bertajuk Adab Online Mampan, Rasulullah SAW Tauladan Relevan yang disampaikan oleh Dr Widad binti Haji Abdul Aziz diikuti dengan persembahan qasidah sebagai penutup persembahan.

Program kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Memohon Terhindar daripada Wabak COVID-19.

Antara yang menyertai Program Rasulullah Teladan Kitan Sambutan Maulidur Rasul SAW yang berlangsung secara maya itu.