Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah-Daerah mengadakan Program Tarbiyah Bersama Mualaf sempena Ilal Hijrah Tahun 1446H/2024M yang berlangsung di Dewan Persidangan PDI, hari ini.
Program yang bertajuk Menjauhi Amalan Khurafat dan Tahayul adalah salah satu Program Tarbiyah Semasa yang disampaikan ke daerah-daerah mengikut tarikh yang telah jadualkan iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara pada 28 Ogos, Daerah Tutong akan diadakan pada 31 Ogos, Daerah Belait pada 3 September dan Daerah Temburong akan diadakan pada 5 September nanti.
Hari ini, seramai 100 peserta mualaf telah menghadiri program berkenaan di Daerah Brunei dan Muara. Hadir selaku tetamu kehormat majlis adalah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Pemudah cara yang dijemput memberi taklimat dalam program berkenan ialah Pegawai Unit Kawalan Akidah dan Penyelidikan, Bahagian Penguatkuasa Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU.
Tujuan program adalah untuk memberikan kesedaran, pendedahan dan panduan kepada para mualaf tentang aqidah Islam agar sentiasa berpegang teguh pada aqidah menurut ajaran Aqidah Ahli Sunnah Wal Jemaah dalam penghayatan Islam yang sebenar.
Di samping itu, program juga dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan saudara-saudara baru mengenali amalan khurafat dan tahayul agar dapat dihindari dan ditinggalkan.