Program tawar AS$50 diskaun bil internet

AMERIKA SYARIKAT, 12 MEI – Warga Amerika boleh mula memohon potongan AS$50 dari bil Internet bulanan mereka hari ini sebagai sebahagian daripada program kerajaan untuk membantu orang terus berkomunikasi semasa wabak.

Program bernilai AS$3.2 bilion adalah sebahagian daripada pakej bantuan pandemik Disember yang berjumlah AS$900 bilion.

Kerajaan meningkatkan perbelanjaan untuk jalur lebar mereka kerana pandemik itu jelas menjejaskan berjuta-juta orang Amerika yang tidak mempunyai akses dan yang tidak berkemampuan ketika pekerjaan, sekolah dan penjagaan kesihatan diadakan secara dalam talian.

Puluhan juta orang layak memohon, walaupun Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan, yang menjalankan program itu, tidak menyatakan jumlahnya.

Antara keluarga yang layak menerima pakej bantuan itu adalah mereka yang menerima kupon makanan, program makan tengah hari sekolah percuma, menggunakan Medicaid atau kehilangan pendapatan semasa wabak tersebut dan berpendapatan rendah.

Lebih daripada 800 syarikat telefon bimbit dan Internet di rumah turut mengambil bahagian. – AFP