Program Teens In AI pertama di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Program Teens in AI pertama di Asia Tenggara akan bermula secara maya dengan AI For Good Hackathon di Brunei Darussalam, esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program berkenaan dilaksanakan menerusi kolaborasi antara Darussalam Enterprise (DARe), Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Bank Baiduri Berhad, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan Dynamik Technologies Sdn Bhd dengan sokongan Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) di Kementerian Pendidikan dan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Kenyataan menjelaskan, hackathon rintis yang berjalan selama lapan hari itu akan dilaksanakan secara maya menerusi platform-platform seperti  YouTube, Zoom dan Discord di mana para pelajar akan mengikuti bengkel-bengkel dan taklimat yang dikendalikan pakar-pakar industri serta meraih manfaat daripada sesi-sesi mentorship oleh mentor-mentor dalam perniagaan, pemikiran rekaan dan teknologi.

Seramai 53 orang pelajar berusia 14 hingga 16 tahun dari sekolah-sekolah kerajaan dan JIS akan menyertai hackathon berkenaan dengan dibimbing oleh 20 orang guru dan 36 mentor dari pelbagai industri.

Kemuncaknya adalah Hari Demo pada 19 September di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa di mana para pelajar akan membentangkan idea-idea mereka kepada barisan panel yang terdiri daripada eksekutif-eksekutif industri utama.

Kenyataan menjelaskan, objektif program adalah untuk menyediakan platform untuk membentuk kemahiran dan kemahiran remaja sebagai sebahagian daripada aspirasi Industri 4.0 Brunei Darussalam yang membayangkan ekosistem startup mampan dan kolaboratif yang menyokong inovasi dan pertumbuhan dengan membangunkan dan menggunakan kemahiran digital dan kepimpinan belia Brunei.

Selepas AI for Good Hackathon secara dalam talian, program akan diteruskan tahun depan dengan hackathon rentas sekolah, melibatkan sehingga 500 pelajar dan akan diakhiri dengan hackathon terakhir di mana dua pasukan teratas dari setiap sekolah akan menghasilkan penyelesaian kepada masalah yang dikenal pasti oleh komuniti tempatan dan diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Teens in AI diasaskan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Teens in AI dan Acorn Aspiration, Elena Sinel. Ia dilancarkan pada Sidang Kemuncak Global AI for Good PBB dengan misi untuk meningkatkan kepelbagaian dan keterangkuman dalam AI dan memperkasa orang muda untuk menyelesaikan masalah-masalah dunia sebenar menerusi AI.

Melatih penduduk tempatan adalah objektif utama program berkenaan yang mana ia memastikan kesinambungan program dan melengkapkan mereka dengan bakat-bakat dan kemahiran yang boleh digunakan untuk membangunkan tenaga kerja masa depan.

Acorn Aspirations bekerjasama dengan rakan tempatan iaitu InTurn Co, startup yang bermula di iCentre, untuk mengendalikan Teens in AI menerusi perkongsian dan sokongan penaja-penaja di Brunei.