Program tingkat kemahiran gadis di Zambia

LUSAKA – Kebanyakan komuniti Zambia, kanak-kanak perempuan dan wanita pada umumnya mempunyai cabaran untuk bersikap tegas kerana adanya kekangan sosial.
Hal ini berlaku terutama bagi mereka yang berasal dari kawasan Zambia yang terjejas dan berpendapatan rendah.

Girls With A Difference (GWAD), sebuah organisasi amal yang ditubuhkan pada tahun 2017 berpusat di Zambia, bertujuan membantu membimbing kanak-kanak perempuan dan wanita muda yang kurang berkemampuan menjadi individu berjaya yang bergantung kepada diri sendiri melalui program yang melatih, menolong dan membimbing untuk merealisasikan potensi mereka.

Organisasi ini menjalankan program untuk kemahiran hidup yang merangkumi keusahawanan, kesedaran diri dan kebersihan diri untuk kumpulan penduduk di Lusaka, ibu kota Zambia.

“Ideanya adalah untuk memperkasa kanak-kanak perempuan dengan kemahiran hidup sehingga mereka dapat memanfaatkan potensi mereka,” kata Zanele Munalula, penyelaras nasional GWAD.

Munalula, 22, mengatakan program-program yang sering dijalankan sebulan sekali, telah membolehkan kanak-kanak perempuan untuk meneroka dan memanfaatkan bakat mereka dan lebih daripada 50 orang telah menyertai program-program berkenaan.

Dua orang wanita mempamerkan dinding bunga yang dihasilkan mereka pada paparan program organisasi amal Girls With A Difference (GWAD) yang berpusat di Lusaka, Zambia. – Xinhua
Seorang wanita menunjukkan bakat solekan ketika program organisasi amal GWAD. – Xinhua

“Disebabkan program-program ini, kebanyakan mereka sekarang tidak hanya lebih giat tetapi juga tegas seperti yang dapat dilihat dari cara penampilan mereka. Keupayaan mereka berbicara di depan khalayak ramai juga telah meningkat dengan pesat,” kata Munalula.

Evalencia Kaneneka, 23, seorang jurusolek dan pakar hiasan, merupakan salah seorang yang telah menerima manfaat daripada program GWAD.

Kaneneka yang bersemangat menjelaskan sesi perkembangan peribadi telah membantu membina harga dirinya dan memberi dia peluang untuk meningkatkan kemahiran seninya.

“Saya selalu berminat dengan karya seni tetapi tidak pernah berpeluang untuk mempraktikkan kemampuan saya sehingga saya mula menyertai program GWAD. Mentor di sini mendorong kami untuk mempamerkan karya kami. Itu benar-benar telah membantu kebanyakan daripada kami untuk menyempurnakan kemahiran kami, “ dia berkata.

Regina Banda, 20, yang pakar dalam pembuatan karpet dan permaidani mengatakan GWAD telah memberinya peluang untuk meningkatkan kemahiran keusahawanannya. – Xinhua