Program tingkat kemahiran usahawan belia

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Program i-Usahawan yang dilaksanakan Kementerian Tenaga adalah fokus utama Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-16 yang bertemakan ‘Masa Depan Siap Belia’.

Pameran i-Usahawan meraikan penglibatan aktif usahawan belia yang bercita-cita untuk meneroka peluang perniagaan baharu dalam sektor tenaga dengan objektif utama untuk meningkatkan kemampuan perniagaan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pameran berkenaan sejajar dengan objektif strategik Kementerian Tenaga yang mendukung pembangunan sosio-ekonomi melalui spin-off sektor tenaga.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titahnya semasa acara sambutan HBK ke-16, baru-baru ini, telah menekankan pentingnya program berkenaan dalam mengembangkan usahawan belia.

Baginda Sultan juga menekankan bahawa sejak dimulakan pada 1 Ogos 2018, program berkenaan telah menghasilkan 35 kontrak yang dikenal pasti, di mana 19 kontrak diberikan kepada 24 usahawan belia dengan nilai kontrak sekitar $29 Juta.

Baginda juga meminta pengembangan Program i-Usahawan lebih meluas ke sektor bukan tenaga.

Pada majlis sambutan itu, Baginda Sultan dijunjung mengunjungi pameran yang diketuai oleh lima vendor belia termasuk tiga pengusaha i-Usahawan iaitu Fath-Briz Sdn Bhd, Perkhidmatan Jezemm, Mohd HMS dan dua vendor yang baru muncul termasuk Brudesh Management & Engineering dan Everything Solar Company.

Pameran Usahawan belia mempamerkan aktiviti perniagaan dan perjalanan keusahawanan mereka dalam menyokong pengembangan aktiviti spin-off sektor tenaga.

Kenyataan menyatakan, dalam menyokong usaha kebangsaan untuk mengembangkan pemula dan usahawan yang dipimpin oleh belia sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi, Program i-Usahawan menyediakan intervensi pasaran yang dipimpin oleh kerajaan di sektor tenaga melalui penyediaan kontrak perniagaan dan inisiatif pengembangan kapasiti.

Aktiviti-aktiviti latihan program berkenaan bertujuan untuk mempercepat potensi perniagaan usahawan belia dalam empat bidang utama pembangunan baharu iaitu Pembangunan Kapasiti Operasi (pemahaman yang lebih baik mengenai industri), Pembangunan Kapasiti Pengurusan (pengurusan perniagaan), Pembangunan Keupayaan Pengurusan Kewangan (pengurusan kewangan) dan Pembangunan Kapasiti Peribadi.